Yang Masih Setia Harus Bertenang, Kuatkan Semangat Terus Kukuhkan ‘Rumah UMNO’ – Zahida

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan melahirkan harapan agar semua yang masih setia dalam perjuangan parti keramat ini untuk bertenang, kuatkan semangat dan sama-sama terus kukuhkan ‘rumah UMNO’.

Ujar beliau, walaupun sedih dengan berita pemimpin tertinggi UMNO Sabah terdiri daripada Ketua Bahagian, barisan kepimpinannya, ADUN dan Ahli Parlimen keluar parti beramai-ramai, namun inilah cabaran serta dugaan yang terpaksa dihadapi selaku parti yang kalah dan hilang kuasa.

“Kami di semenanjung sentiasa mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan di Sabah, apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya, kita ambil ia sebagai satu motivasi untuk lakukan yang lebih baik kepada rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Zahida, mungkin pada mereka tindakan keluar dari perjuangan parti adalah keputusan terbaik, dan semua pihak harus berlapang dada menghormati keputusan penghijrahan beramai-ramai di Sabah.

“Pemimpin datang dan pergi, UMNO Sabah melalui kepimpinan baru, dan akar umbi harus teruskan perjuangan membela rakyat,” ujar beliau lagi. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.