UMNO Sabah Tidak Lumpuh, Berfungsi Seperti Biasa – Ismail Sabri


KOTA KINABALU, 13 Dis – UMNO Sabah akan bangkit semula dengan barisan kepimpinan baharu di semua bahagian, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata semua jawatan yang dikosongkan oleh hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri dan 21 daripada 25 ketua bahagian di negeri itu akan dipangku oleh timbalan masing-masing.

Menurutnya, perbincangan mengenai kepimpinan badan perhubungan baharu akan diadakan dan keputusannya akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan barisan tertinggi badan perhubungan UMNO Sabah yang baharu di sini hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan serta Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Jainab Ahmad.

Semalam, hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Selain itu, semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Berikutan tindakan keluar beramai-ramai itu, Ismail Sabri menafikan laporan kononnya UMNO Sabah sudah lumpuh dan menegaskan bahawa semua bahagian masih berfungsi seperti biasa.

Malah, katanya, setakat ini belum ada ahli di peringkat cawangan keluar daripada UMNO secara beramai-ramai seterusnya membubarkan cawangan mereka.

“Walaupun gambaran yang diberikan seolah-olahnya UMNO Sabah ini sudah lumpuh, tetapi keadaan sebenarnya tidak begitu,” katanya.

Katanya, semua barisan kepimpinan baharu berkenaan perlu agresif turun padang untuk menjelaskan segala keleliruan ahli terutama berkaitan hala tuju parti yang dikatakan tidak jelas selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.