Walau Diasak, UMNO Sabah Tetap Wujud Jadi Benteng Rakyat


KOTA KINABALU, 12 Dis – Pemuda UMNO Negeri Sabah menafikan berita mengenai pembubaran UMNO negeri tersebut.

Menurut Ketuanya, Ir. Abdul Aziz Julkarnain, penularan berita tersebut hanyalah dimainkan pihak lawan untuk memecah-belahkan kesatuan dan kekuatan dalam parti di peringkat akar umbi.

“Sehingga kini, kesemua 25 Bahagian di negeri ini masih utuh dan kuat. Malah, UMNO di peringkat negeri sedang merencana dan menggerakkan usaha-usaha transformasi untuk memperkukuhkan UMNO di peringkat akar umbi agar terus relevan dengan landskap dan keperluan politik pada masa kini.

“Ini dapat dibuktikan melalui program-program khidmat masyarakat yang sedang giat dijalankan di setiap bahagian-bahagian. Malah sambutan yang diterima di peringkat akar umbi amat memberangsangkan.

“Rata-rata, ahli di peringkat akar umbi mahukan kepimpinan UMNO terus bertahan dan istiqamah dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara walaupun sedang diasak oleh kerajaan dengan tekanan-tekanan yang lebih bersifatkan politik balas dendam,” tegasnya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, walaupun adanya desas-desus terdapat beberapa pemimpin seperti Ketua Bahagian akan meninggalkan perjuangan parti kerana tidak mampan dengan tekanan-tekanan politik tersebut, tetapi masih ramai yang berkelayakan serta berkaliber.

“Hakikatnya lebih ramai pemimpin mempunyai jati diri pejuang di peringkat bawah yang akan tampil beramai-ramai untuk menggalas dan memangku kepimpinan bahagian.

“Ringkasnya, UMNO Sabah mempunyai struktur hierarki organisasi yang cukup sempurna dan teratur.

“Sekiranya pemimpin memilih haluan untuk meninggalkan perjuangan, UMNO Sabah tidak kering dengan pemimpin-pemimpin pelapis muda yang lebih bersih, dinamik serta energetik,” tegasnya.

Justeru ujarnya, UMNO Sabah akan terus bersuara ‘Suara Rakyat’ dan akan terus mempertahankan negeri ini daripada terus dijarah oleh polisi-polisi politik sang penguasa yang terus menerus menekan kehidupan rakyat.

“UMNO perlu terus wujud sebagai benteng terakhir rakyat di negeri ini,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.