Kerajaan Bukan Sarkas, Laporan Ekonomi Bukan Macam Manifesto Yang Boleh Ditemberang – Najib

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng ekoran kenyataannya berkaitan pelaburan terus asing (FDI) pagi ini.

Katanya, Guan Eng perlu tahu bahawa laporan kedudukan ekonomi bukan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) yang boleh ditemberang atau ditipu dengan mudah.

“Tak ada angin, tak ada ribut, pagi ini Lim Guan Eng dengan tiba-tiba dan bangganya melaporkan bahawa pelaburan terus asing (FDI) naik 350 peratus untuk sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

“Lalu, dia memuji kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas kejayaan untuk lima bulan ini (Mei sehingga September). Saya amat pelik sebenarnya,” katanya melalui lontaran dalam laman facebooknya hari ini.

Tegasnya, sekali lagi, ini sebuah kerajaan, bukan taman permainan atau sarkas.

“Tiap-tiap hari kita baca laporan media bahawa rizab antarabangsa negara semakin susut, unjuran ekonomi negara terus diturunkan, Ringgit semakin jatuh nilainya, indeks bursa jatuh dengan pengaliran keluar dana asing dan kadar pertumbuhan KDNK ekonomi merosot untuk suku kedua dan suku ketiga.

“Saya pun rujuk laporan rasmi FDI dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Statistik Negara. Rupanya, angka rasmi dari dua-dua agensi ini menunjukkan kejatuhan teruk untuk FDI bagi 9 bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.”

Katanya, angka rasmi dan sahih tunjukkan FDI jatuh tiga kali ganda dan bukannya naik tiga kali ganda sebagaimana diumum oleh Guan Eng malah FDI untuk suku pertama yang tinggi pun sudah menjunam turun bagi suku ke-2 dan suku ke-3.

“Adakah Guan Eng terus menipu ataupun agensi-agensi rasmi kerajaan tersalah lapor?

“Atau sebagaimana pada masa lalu, Guan Eng hanya pandai ‘main hantam’ sahaja?” soal beliau secara sinis. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.