Lautan Biru Iringi Calon BN DUN Rantau, Chembong Dan Kota
REMBAU, 18 Julai – Lautan biru membanjiri pekarangan pusat penamaan calon apabila ribuan penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) hadir mengiringi calon-calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Chembong dan Kota untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Suasana diserikan dengan kibaran bendera BN, laungan slogan dan sorakan semangat daripada penyokong sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi tempoh berkempen.
Cuaca yang baik dan langit cerah sejak awal pagi mewarnai suasana di pusat penamaan calon, sekali gus menyemarakkan lagi semangat ribuan penyokong serta jentera BN yang hadir mengiringi calon-calon bertanding.

Turut mengiringi calon ialah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan parti yang disambut meriah oleh para pendukung parti.
Turut hadir selaku keluarga angkat kepada Bahagian Rembau ialah Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafri Ariffin bersama para jentera.
Kehadiran penyokong dari pelbagai peringkat usia bukan sahaja menyuntik semangat kepada calon, malah memperlihatkan kesatuan dan iltizam jentera BN untuk mempertahankan serta merampas kerusi-kerusi yang dipertandingkan pada PRN kali in
Proses penamaan calon telah bermula pada jam 9.00 pagi tadi dan ia berlangsung dalam keadaan teratur dengan kawalan keselamatan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Untuk rekod, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili BN untuk kerusi DUN Rantau manakala Datuk Zaifulbahri Idris bagi DUN Chembong dan Suhaimi Aini bagi DUN Kota.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi. – UMNO Online
