PRK DUN Seri Setia: Pas Zahir Penghargaan Kepada UMNO, MIC Dan NGO

SHAH ALAM, 2 Sept – Pas menzahirkan penghargaan kepada parti UMNO, MIC serta badan bukan kerajaan (NGO) yang turut serta berkempen untuk calon Pas, Dr Halimah Ali di dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, ujar Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, keseluruhan jentera kempen yang mewakili blok pembangkang dari setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak juga telah tiba untuk memperhebatkan lagi kempen.

“Sebagaimana dimaklumkan kepada saya, sekurang-kurangnya 50 orang dari satu negeri datang untuk membantu kita dan ditugaskan mengikut perancangan program kempen di setiap zon.

“Kerjasama yang diberikan diyakini akan mengukuhkan kuasa politik semak dan imbang khususnya di Selangor yang mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan (PH) yang begitu besar,” katanya pada sidang media di pejabat Pas Selangor, di sini, Sabtu.

Hanya tinggal seminggu lagi tempoh berkempen untuk PRK DUN Seri Setia, Pas kini mempergiatkan kempen dengan memberi fokus untuk meraih undi dalam kalangan pengundi Cina dan golongan kelas pertengahan.

Jentera kempen dikerahkan untuk meliputi semua kawasan di Seri Setia dan juga membuat kunjungan dari rumah ke rumah sebelum tempoh kempen berakhir menjelang hari mengundi Sabtu depan, ujar Tuan Ibrahim.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta petugas Pas untuk melipatgandakan usaha meraih undi di Seri Setia.

Katanya, kemenangan calon Pas di Seri Setia adalah penting untuk memberi isyarat kepada PH supaya tidak memandang enteng terhadap janji-janji yang ditabur pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas.

Dr Halimah akan berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon PH Halimey Abu Bakar pada 8 Sept ini berikutan kekosongan kerusi DUN Seri Setia selepas kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat barah usus, 2 Ogos lepas.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.