Kalah Tapi Jentera BN Perlihat Semangat Juang Luar Biasa – Zahid

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis memperlihatkan semangat tinggi yang amat luar biasa walaupun kerusi itu kekal di tangan PKR.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut tidak melunturkan semangat mereka untuk terus berkempen dalam PRK DUN Balakong dan PRK DUN Seri Setia.

“Biarpun kita terasak ke dinding namun tiada kepudaran dalam kempen.

“Kita tunggu di Balakong dan Seri Setia untuk kesinambungan daya juang,” katanya melalui akaun Twitter milik beliau.

Beliau yang juga Presiden UMNO mengucapkan terima kasih kepada semua petugas UMNO dan BN atas segala usaha gigih mereka di Sungai Kandis.

Dalam pertembungan tiga penjuru di Sungai Kandis, calon HARAPAN Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperolehi 15,427 undi menewaskan calon BN Datuk Lokman Noor Adam (9,585 undi) dan calon bebas K Murthy (97 undi).

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.