Jentera BN Diminta Terus Raih Sokongan Pastikan Pengundi Laksana Tanggungjawab
SHAH ALAM, 4 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam meminta anggota jentera untuk terus menggerakkan seberapa ramai yang mungkin pengundi khususnya saluran satu dan dua yang mana terdiri daripada mereka yang berusia.
Katanya, dapatan daripada laporan yang diberikan ramai pengundi fobia kerana pada pilihan raya yang lalu mereka terpaksa naik sampai ke tingkat tiga bagi mengundi.
“Tapi berdasarkan kepada apa yang didapati kali ini semua saluran satu, dua dan tiga berada di lantai yang bawah. Tak perlu bimbang. Petugas BN dan SPR sendiri ada sediakan kemudahan untuk membantu pengundi.”
Dalam masa yang sama, beliau juga menyeru anak-anak muda yang menyokong BN agar keluar mengundi.
“Kali ini tak perlu menunggu sehingga tiga empat jam seperti yang lalu untuk mengundi, rata-rata proses pengundian hanya dalam 5-10 minit.
“Janji-jani Pakatan Harapan (PH) banyak yang tak ditunaikan. Rugi sekiranya penyokong-penyokong BN tak mengambil peluang yang ada untuk membuat teguran kepada PH supaya menunaikan janji. Tolong turunkan sebanyak mana pengundi yang ada,” katanya yang melakukan tinjauan dan lawatan ke pusat-pusat pengundian di sini.
Dalam perkembangan berlainan, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata sehingga kini proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau turut meminta sebanyak mungkin pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi memandangkan pusat mengundi hanya akan ditutup pada pukul 5.30 petang ini.
DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 orang dan 13 pengundi tidak hadir.
SPR sebelum ini menyasarkan 80 peratus keluar mengundi pada PRK yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy. – MediaUMNO