Pemuda UMNO Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merafak sembah menjunjung kasih kepada DYMM Raja-Raja Melayu atas titah baginda Duli-Duli Tuanku menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan.

Ketuanya, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan ucapan tahniah dan berkeyakinan tinggi kepada barisan ahli-ahli Jawatankuasa yang dilantik berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka seiring dengan mandat yang dititahkan oleh DYMM Raja-Raja Melayu.

“Sesungguhnya, titah perkenan penubuhan Jawatankuasa ini amatlah bertepatan dengan prerogatif DYMM Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO juga berpendapat penubuhan Jawatankuasa ini amat bertepatan dengan senario semasa yang banyak mencetuskan keresahan dan kebimbangan rakyat khususnya yang menyentuh pelbagai isu-isu melibatkan kepentingan agama Islam dan umat Islam.

“Penubuhan Jawatankuasa ini dilihat lebih relevan, berwibawa dan lebih berautoritatif berbanding dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang punca kuasanya diragui.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersedia untuk bekerjasama dan memberikan sokongan bagi menjayakan matlamat penubuhan Jawatankuasa ini demi memartabatkan agenda Islam dan menzahirkan Islam sebagai agama yang adil dan menghormati kepelbagaian agama yang merupakan teras kekuatan negara ini.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.