PRK Balakong: Penamaan Calon 18 Ogos, Pengundian 8 Sept
PUTRAJAYA, 30 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Balakong, Selangor pada 8 Sept depan.
Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Ogos sementara hari mengundi awal pada 4 Sept.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 21 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga 11.59 malam 7 September,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.
Othman berkata SPR melantik Pegawai Daerah Hulu Langat Datuk Rosli Othman sebagai Pegawai Pengurus PRK Balakong dan Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat, Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi.
“Pada pilihan raya kecil ini, 998 orang petugas dilantik untuk pengendalian proses PRK N27 Balakong. Sebanyak 17 buah premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 129 tempat mengundi (saluran) dan dianggarkan memerlukan anggaran peruntukan sebanyak RM1.5 juta,” katanya.
Kekosongan DUN Balakong adalah berikutan kematian penyandangnya Ng Tien Chee akibat kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Ng daripada DAP yang bertanding atas tiket PKR mengalahkan dua pencabarnya, Lim Chin Wah daripada Barisan Nasional dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.
Othman berkata daftar pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK Balakong adalah sehingga suku pertama Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 20 Julai 2018. Daftar pemilih tersebut mengandungi 62,219 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 62,160 orang pemilih biasa, 31 pemilih awal dan 28 orang pemilih tidak hadir luar negara.
Tambah beliau, penambahbaikan baharu yang dilaksanakan pada PRK Balakong adalah penambahan petak undi di dalam tempat mengundi (saluran) kepada tiga petak undi.
“Amalan sebelumnya adalah dua petak undi sahaja. Penambahbaikan ini adalah bertujuan mempercepatkan lagi proses pengundian di saluran mengundi,” katanya.
Othman menjelaskan sebagaimana pembaharuan yang dilaksanakan bagi PRK N49 Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos ini, PRK Balakong juga melibatkan perkara yang sama iaitu dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun ke atas, memanjangkan tempoh pengundian dari 8 pagi hingga 5.30 petang dan menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai.
Bagi PRK Balakong, sebanyak 29 saluran baharu diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya 129 saluran berbanding 100 saluran pada pilihan raya umum ke-14, katanya.