Lagi Laporan Polis Terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

JOHOR BAHRU, 29 Julai – Enam individu hari ini membuat laporan polis menuntut siasatan ke atas penularan video Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berhubung dakwaan beliau menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

Wakil individu itu, Azlan Yusof, 33, berkata siasatan perlu dijalankan kerana sekiranya kandungan video itu benar, ia boleh mengancam kestabilan politik dan keamanan di negara ini.

“Kami sebagai rakyat bimbang apabila ada dakwaan pemimpin terlibat menyokong LTTE ini dan sekiranya video itu berunsurkan fitnah, maka pihak polis perlu ambil tindakan kepada yang menyebarnya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sentral, di sini hari ini.

Sebelum ini tular dalam media sosial memaparkan Ramasamy dan anggota politik pro-LTTE V. Gopalasamy, yang dikatakan diambil dalam sebuah majlis perkahwinan sehingga menimbulkan dakwaan beliau mempunyai hubungan dengan kumpulan di Sri Lanka itu yang dianggap pengganas oleh beberapa negara.

Susulan itu, hingga kini terdapat lebih 50 laporan polis terhadap Ramasamy kerana dikatakan menyokong kumpulan pengganas LTTE tersebut.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.