Himpunan Kebangkitan Ummah Contoh Baik Penganjuran Perhimpunan Aman


JOHOR BAHRU, 29 Julai – Polis berharap Himpunan Kebangkitan Ummah (HKU) yang diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di Kuala Lumpur, semalam, menjadi contoh yang baik kepada penganjuran perhimpunan aman oleh pihak badan bukan kerajaan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ini kerana pihaknya dapat menjalankan tugas dengan baik dan mendapat kerjasama daripada peserta perhimpunan yang hadir.

“Himpunan semalam berjalan dengan lancar, orang ramai yang hadir juga memberi kerjasama yang baik kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kehadiran kami jangka dalam 3,500 hingga 4,000 orang awam terlibat dan semuanya berjalan mengikut peraturan.

“Kami (PDRM) berharap perhimpunan yang berjalan seperti ini dapat dijadikan contoh yang baik bagi memudahkan tugas-tugas PDRM. Kami juga berharap peserta perhimpunan patuh pada peraturan dan tidak mengganggu orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 400 pesara polis oleh Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Noor Rashid berkata antara yang hadir ke himpunan tersebut adalah bekas penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan.

Menurutnya, penganjur perhimpunan juga telah memaklumkan pihak polis mengenai program berkenaan dan PDRM telah mengambil langkah yang sesuai bagi memastikan perjalanan trafik sepanjang program berkenaan berlangsung lancar.

Sementara itu, Noor Rashid berkata penganugerahan PJPN merupakan satu istiadat yang amat penting di dalam PDRM bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota serta pegawai kepada tanah air.

Beliau berkata di Johor sahaja, sehingga hari ini terdapat lebih kurang 8,000 pesara polis menetap di negeri ini.

“Ada dalam kalangan pesara ini telah pencen selama lebih 30 tahun, yang kita raikan pada hari ini bagi memberi pengiktirafan kepada pengorbanan mereka terutamanya pada zaman darurat dan kedatangan komunis suatu ketika dahulu.

“Pada hari ini, kami meraikan 400 pesara yang 100 daripada mereka ini masih berkhidmat dalam jabatan manakala selebihnya akan kami sampaikan secara berperingkat,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.