Mesyuarat Ditangguh Antara Isu Sidang Dewan Rakyat Minggu Ini

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Insiden sidang Dewan Rakyat ditangguh susulan tidak cukup korum, Selasa lepas menjadi antara topik tumpuan pada minggu kedua Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Ia berlaku sebaik mesyuarat disambung semula selepas rehat tengah hari pada pukul 2.30 petang, apabila Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat dan membangkitkan mengenai mesyuarat tidak cukup korum.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian mengarahkan persidangan itu ditangguhkan dua minit sehingga korum mencukupi untuk meneruskan sidang sesi petang.

Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1), cukup bilang (kuorum) bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli yang tidak termasuk Pengerusi.

Walaupun penangguhan itu hanya seketika, namun ia mengundang pelbagai reaksi mengenainya sehinggakan ada pihak yang mencadangkan pemotongan elaun bulanan anggota Parlimen yang tidak hadir sidang Dewan Rakyat.

Pihak kerajaan juga dicadang menyegerakan pemilihan ketua ‘backbencher’ (penyokong kerajaan) untuk menentukan kehadiran anggota Parlimen bagi mengelak insiden penangguhan mesyuarat berulang.

Sehari sebelum insiden itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyuarakan ketidakpuasan hatinya mengenai prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri ke mesyuarat dewan.

Selain insiden itu, perjalanan mesyuarat minggu ini yang dipengerusikan Mohamad Ariff yang dibantu dua timbalannya Nga Kor Ming dan Datuk Mohd Rashid Hasnon secara keseluruhannya boleh disifatkan lancar walaupun adakalanya timbul ketegangan antara anggota Parlimen yang lazim berlaku.

Sesi soal jawab lisan banyak berkisar mengenai isu-isu semasa dan hala tuju kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), termasuk rancangan kerajaan untuk mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru dan Model Ekonomi Baru.

Sesi perbahasan titah ucapan Yang Di-pertuan Agong turut menjadi medan untuk anggota Parlimen terutama daripada blok pembangkang untuk mengutarakan pelbagai persoalan kepada pihak kerajaan antaranya mengenai janji-janji dalam manifesto mereka.

Antara yang mengambil bahagian dalam perbahasan minggu ini adalah Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang dalam ucapannya mencadangkan kerajaan memungkiri dua janji manifestonya demi kebaikan ekonomi negara.

Dua janji itu adalah berkenaan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan dan penangguhan pembayaran semula hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam bergaji bawah RM4,000.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengambil bahagian dalam perbahasan itu semalam, di mana beliau mendakwa keadaan ekonomi negara yang kukuh ketika era pentadbirannya selain mengkritik kerajaan semasa mengenai janji mereka untuk membantu peneroka Felda.

Di lobi Parlimen pula dipenuhi dengan pegawai-pegawai kerajaan yang turut mengikuti sidang dewan sambil puluhan pengamal media berkongsi ruang yang sama menunggu peluang untuk mendapatkan reaksi daripada anggota Parlimen dan jemaah menteri berkaitan pelbagai isu.

Antara yang paling ditunggu-tunggu pengamal media adalah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi mendapatkan berita mengenai situasi ekonomi dan dasar negara.

Persidangan dewan akan bersambung minggu depan dan akan berakhir 16 Ogos.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.