Speaker Corner ‘Mesej Daripada Pembangkang’ Bergema Di Sungai Kandis
Shah Alam, 26 Julai – Pasar Malam Sungai Kandis malam tadi bergema dengan beberapa penceramah muda barisan pembangkang yang berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos nanti.
Speaker Corner ‘mesej daripada pembangkang’ turut menampilkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang berkesempatan turut mengambil bahagian bersama para penceramah lain dengan melontarkan pandangannya agar pengundi Sungai Kandis membuat pilihan yang tepat pada hari pembuangan undi nanti untuk kepentingan masyarakat setempat.
“4 Ogos ini bukan hari pengundian biasa-biasa… tarikh berkenaan bukan hannya sekadar untuk memilih wakil rakyat… hari berkenaan bukan hanya untuk mencari seorang lagi wakil rakyat di DUN Selangor tetapi hari berkenaan adalah satu referendum rakyat… 4 Ogos adalah pungutan suara rakyat.
“Adakah rakyat berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kerajaan baru-baru ini khususnya dalam tempoh 70 hari ini. Itu sebabnya kalau ada dikalangan kita yang merasakan PH dalam PRU yang lepas telah mengemukakan manifesto yang menipu.
“Kalau anda merasakan bahawa janji ini wajib untuk mereka tunaikan maka undilah BN. Kita akan menjadi suara rakyat untuk mendesak supaya janji berkenaan ditunaikan,” katanya.
Katanya lagi, jika pengundi terus memberikan undi kepada PH ini bermakna rakyat redha mereka tidak tunaikan janji asalkan BN jatuh.
“Keduanya jika tuan-puan mengundi PH ini bermakna setuju dengan politik fitnah dan kerajaan hari ini dibentuk dan didirikan dengan fitnah. Kita kena berikan isyarat yang jelas kepada PH agar mereka terus menunaikan janji mereka dengan mengundi BN.
“4 Ogos ini kita bulatkan tekad, kita kuatkan semangat dengan memangkah BN,” katanya yang disambut oleh penonton yang berada di sekitar pasar malam tersebut. – MediaUMNO