PRK Sg Kandis Pungutan Suara, Terhapusnya GST Adakah Harga Barang Turun?

SHAH ALAM, 26 Julai – Exco Pemuda UMNO Wan Mohd Azri Wan Deris meminta pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis memberikan isyarat terhadap Putrajaya dengan menjadikan PRK berkenaan sebagai pungutan suara.

“Undilah calon BN untuk hantar mesej kepada Putrajaya agar mereka menunaikan janji tetapi tidak dengan SST. SST adalah beban kepada rakyat. Apa salahnya bak kata Khairy, GST dilaksanakan dengan kadar 4 peratus. Saya rasa itu lebih baik untuk rakyat kerana kita kena ingat hari ini rakyat adalah ‘boss’.

“Dengan mengundi BN, kerajaan pusat dan negeri tidak akan bertukar dan Tun Dr Mahathir tetap Perdana Menteri namun sekurang-kurangnya kita menghantar mesej kepda Putrajaya yang mana seluruh rakyat Malaysia mengharapkan segala janji-janji lain terlaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Speaker Corner’ – Mesej daripada Pembangkang yang berlangsung malam tadi di perkarangan pasar malam Sungai Kandis.

“Saya nak cerita pasal SST. Kalau tengok baju yang kami pakai ini tertulis SST iaitu ‘slow-slow tipu’. Sebelum ini berhubung isu GST kita bercerita tentang harga naik, tentang itu naik dan ini naik serta sebagainya lagi, tetapi saya nak tanya apabila PH menubuhkan kerajaan dan GST dihapuskan dengan kadar kosong peratus apakah harga barang turun?” soalnya.

Katanya lagi sepertimana saranan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Parlimen hari ini yang merayu kepada kerajaan agar tidak melaksanaka SST kerana barang akan menjadi lebih mahal dan penipuan cukai akan berlaku.

Sementara itu Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar pula berkata sebagai generasi muda hari ini mereka akan terus mengenang jasa dan apa yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Kami terima kami kalah dalam PRU yang lalu. 9 Mei titik bersejarah buat kami apabila secara tiba-tiba bertukar menjadi pembangkang, tetapi kami masih utuh di sini bersama BN membawa obor anak muda. Kita datang ke sini malam ini bukanlah untuk meminta apa-apa tetapi untuk mengajak sama-sama merenung apa jaminan kerajaan baru hari ini untuk orang muda.

“Apakah dengan SST apakah terjamin nasib anak muda… apakah tidak ada kenaikan kos sara hidup. Belum apa-apa dah naik walaupun kosong GST. Kami orang muda baru nak memulakan kehidupan. Haji minimum RM1,500 apa cerita. PTPTN hari ini cakap lain esok cakap lain. Apa semua ini?” katanya.

Katanya lagi cukup-cukuplah kerajaan bermain dengan kata-kata sebaliknya perlu memberikan tumpuan yang serius dan orang muda bukannya ‘tikus makmal’ sebagai bahan ujikaji mahu pun bahan eksperimen.

“Justeru undilah calon BN, Datuk Lokman Noor Adam bagi PRK ini untuk sampaikan mesej kita semua,” katanya.

Manakala Ketua Pemuda Kota Raja, Sheikh Weshal Datuk Sheikh Ahmad mempersoalkan apakah motif sebenar penubuhan Tabung Harapan yang kononnya dikaitkan dengan hutang negara.

Momokan pada 9 Mei kononnya negara akan jadi sesuatu pada malam itu tetapi jelas UMNO dan BN menyerahkan tempuk kuasa dengan penuh aman dan tidak ada sebarang kekacauan malah tidak ada satu ‘traffic light’ pun dipecahkan.

“Kita nak lihat apa yang kerajaan baru buat tetapi apa yang mereka lakukan pertamanya adalah menubuhkan Tabung Harapan bagi mengelakkan segala janji yang ditabur sebelum ini ditunaikan.

“Perkara ini ditunjukkan kepada rakyat supaya kerajaan tidak perlu menunaikan janji. Nak tunai atau bagi minyak sehingga RM1.50 tidak boleh….negara hampir bankrap. Kamu yang berjanji dan kamu perlu tunaikan. Apa pun 4 Ogos nanti pengundi buatlah pilihan dengan mengundi BN agar mereka menunaikan janji yang ditabur sebelum ini,” katanya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.