Lima Taman Perindustrian Nikmati Pengecualian Cukai

KUANTAN, 26 Julai – Kerajaan negeri Pahang memberikan pengecualian cukai kepada lima taman perindustrian di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Taman perindustrian itu ialah Taman Automotif Pekan, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1 dan 2, Taman MCKIP 3, Taman Industri Halal Gambang dan Taman Teknologi Pahang.

“Tempoh pengecualian cukai ini berbeza-beza seperti MCKIP diberikan tempoh selama 15 tahun dan ada yang mendapat tempoh selama lima tahun. Ini adalah inisiatif kami untuk menarik pelabur,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang meminta senarai kawasan yang diberikan pengecualian cukai.

Menjawab soalan Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) dan Andansura Rabu (PAS-Beserah), Wan Rosdy berkata kepentingan menarik pelabur asing adalah bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Mengambil contoh MCKIP, kami ada persefahaman bahawa 70 peratus adalah pekerja tempatan dan hanya 30 peratus pekerja luar, cuma pada peringkat awal, mungkin lebih banyak pekerja asing.

“Namun setelah semua lengkap, mereka akan pulang. Kita kena rasional dan bertolak ansur dalam mencipta situasi menang-menang dalam perkara ini,” katanya.

Beliau menambah pelaburan China di sini juga merupakan pelaburan dua hala kepada kerajaan negeri yang juga mewujudkan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) bagi membantu syarikat tempatan mencari peluang melabur di China.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.