Aplikasi PRK Sungai Kandis Untuk Buktikan BN Difitnah – Khaled


SHAH ALAM, 25 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata masyarakat terutama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis beruntung kerana berpeluang sekali lagi untuk membuat pilihan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Menurut beliau pada kali ini pengundi boleh menggunakan peluang tersebut untuk memastikan segala janji dan segala manifesto yang dicanang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun belum dilaksanakan dituntut.

“Hanya penduduk di Sungai Kandis boleh melakukan perkara ini . Sebelum ini harga minyak naik dikatakan salah Barisan Nasional (BN). Segala kekurangan dan kelemahan yang berlaku pada waktu itu dikatakan salah BN.

“Namun setelah berjaya mengambil alih kerajaan dan GST ditiadakan harga barang tidak stabil walaupun BN tidak ada lagi. Ini jelas menunjukkan BN difitnah. Hari ini kita mesti nyatakan pendirian kita dalam berdepan fitnah tersebut iaitu dengan mengundi BN. Orang lain dan pengundi di kawasan lain tidak boleh buat apa…hanya pengundi di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) 1, Taman Seri Andalas, malam tadi.

Khaled seterusnya menegaskan mereka (PH) telah memberikan persepsi yang buruk terhadap BN dan atas sebab itu PRK ini amat penting sebagai PRK pertama selepas PRU yang lalu.

“Kemenangan calon kita akan membolehkan kita jadi pembangkang yang kuat di Selangor dan negara. Kita mahukan pembangkang yang kuat kerana kita nak pastikan bahawa kewujudan sistem dua parti dalam negara benar-benar dapat dilaksanakan.

“Kita mahu supaya proses semak dan imbang itu benar-benar berkesan. Atas sebab itu kita mesti menangkan calon kita pada PRK ini. Menang itu satu mesej kepada kerajaan sedia ada. Satu Malaysia harapkan manifesto dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, penceramah kedua Ustaz Riza Kamaruddin pula berkata apa yang diperkatakan sebelum PRU yang lalu bahawa mengubah kerajaan bukan sepertimana menukar baju akhirnya rakyat telah mula dapat melihat apa yang berlaku hari ini.

“Hari ini tengok apa yang janji mereka dah laksanakan. Harga barang tetap tidak stabil. Yang turun tomato. Kita kalah sebelum ini kerana fitnah serta persepsi dan janji yang ditabur oleh PH mempersonakan. Banyak hutang dikatakan akan dihapuskan hutang…Siapa yang tidak akan terpesona.

“Sama-sama kita berdoa agar mereka akan terkubur sendiri dengan fitnah yang dilontarkan. Jangka mereka tidak akan lama. Tidur sebantal mimpi lain-lain,” katanya.

Manakala Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Adnan Seman berkata jentera parti pelbagai peringkat dan pengundi masing-masing berpeluang untuk menjadikan PRK Sungai Kandis sebagai detik yang bersejarah

“Anda di sini yang akan menentukan lakaran sejarah UMNO dan BN selepas ini. 20 dan 25 tahun akan datang boleh bercerita bahawa andalah yang memulakan sejarah politik negara.

“Hari ini kita pembangkang dan mereka (PH) telah ambil kuasa…pelbagai fantasi diceritakan kepada anak muda pada PRU lalu manakala kita adalah soal realiti. PRU- 14 fantasi mengatasi realiti…

“Jika sebelum ini kebanyakan rakan-rakan mengatakan menteri kita itu dan ini, hari ini adalah sebaliknya. Malah hari ini Datuk Ahmad Maslan dijulang lebih bijak berbanding pakatan. Bukan nak hina dan nak keji mereka…tetapi itulah hakikatnya,” katanya. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit