Calon BN dan PKR Kongsi Pentas Bersama Pikat Pengundi
SHAH ALAM, 24 Julai – Suasana di Pasar Malam Seri Andalas petang tadi meriah apabila calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam bukan sahaja bertembung dengan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kempen di kawasan tersebut malah turut berkongsi pentas yang sama dengan menyuarakan manifesto masing-masing.
Umpama ‘Debat Bergerak’ pentas bergerak tersebut yang digunakan oleh jentera BN untuk menyampaikan mesej kepada pengunjung pasar malam berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua calon berkenaan dan ternyata menarik tumpuan pengunjung yang berada di pasar malam terbabit.
Walaupun tempoh masa yang singkat antara kedua-dua calon bersama, namun kempen yang penuh matang itu merupakan satu perkara yang cukup baik dan memperlihatkan proses demokrasi yang cukup subur.
Sejurus berakhir ucapan masing-masing Lokman dan Zawawi meneruskan kempen mengedarkan risalah dan bertemu mata dengan pengunjung yang berada di pasar malam terbabit. – MediaUMNO