Pembangunan Hanya Mampu Lancar Jika Politik Stabil – Raja Perlis

KANGAR, 23 Julai – Agenda pembangunan yang dirancang di Perlis hanya mampu dilaksanakan dengan lancar jika suasana politik stabil, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah selain menyediakan infrastruktur lengkap, kestabilan politik juga antara faktor penting dalam menarik minat pelabur ke negeri ini, sekaligus membolehkan pembangunan dijalankan seperti dirancang.

“Kerajaan Negeri tidak mampu membangunkan negeri ini bersendirian, justeru ia memerlukan penglibatan dan peranan sektor swasta khususnya pelabur dan adalah mustahil untuk menarik pelaburan besar yang berimpak tinggi dan mampan jika kerajaan tidak tenteram dan politik tidak stabil.

“(Oleh itu) beta mahu setiap wakil rakyat di negeri ini bersatu hati, bekerja dengan ikhlas dan mengutamakan kepentingan negeri serta rakyat supaya projek-projek infrastruktur dapat dilaksanakan segera,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Baginda bertitah setiap wakil rakyat perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah dan tanggungjawab supaya pembangunan negeri dapat dipercepatkan dan mewujudkan persekitaran kondusif sekaligus membuka peluang kepada rakyat untuk memperbaiki taraf sosio-ekonomi mereka.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah landskap politik di negara ini juga sudah berubah dan cabaran untuk membangunkan Perlis adalah lebih sukar memandangkan ia kini negeri pembangkang.

“Ini ditambah dengan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat dari segi peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan.

“Oleh itu, semua wakil rakyat perlu berusaha keras mewujudkan hubungan baik antara satu sama lain dan mendahulukan kepentingan rakyat, bukan hanya berpolitik sepanjang masa,” titah baginda.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan defisit, Kerajaan Negeri hendaklah mengamalkan langkah berhemah dan memberi keutamaan kepada perbelanjaan mustahak dan mempunyai impak tinggi untuk pembangunan negeri.

Baginda juga mengingatkan rakyat agar berusaha serta rajin bekerja dan tidak bergantung hidup kepada bantuan semata-mata sebaliknya menerapkan sikap positif yang akan menjamin kesejahteraan dan kehidupan lebih baik.

Baginda turut berpesan kepada semua wakil rakyat agar berbahas dengan tertib dan berhemah pada sidang DUN kali ini atas prinsip memperjuangkan serta membela kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.