Pastikan BN Menang Untuk Hukum Kerajaan Yang Tegak Berdasarkan Fitnah – Lokman

SHAH ALAM, 23 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mengajak para pengundi mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya untuk menolak kerajaan yang tegak berdasarkan fitnah.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada hari ini adalah kerajaan yang memfitnah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi sampai kini telah lebih dua bulan berkuasa namun mereka masih gagal melakukan pendakwaan di mahkamah.

“Apabila berjuang maka kita berjuang kerana nak tegakkan kebenaran dan tak mustahil kita akan beroleh kejayaan,” katanya.


Beliau menekankan bahawa pentingnya kemenangan BN dalam PRK tersebut bagi mewakili seluruh rakyat yang tidak berpuas hati kepada kerajaan PH.

“Jika BN menang bukan hanya untuk jadi pembangkang dalam DUN tapi kita mewakili seluruh rakyat yang rasa kecewa, rasa geram dan macam-macam rasa mengenangkan nasib anak bangsa, agama kita dan bahasa yang diperlekeh serta Duli Yang Maha Mulia Raja kita dihina, difitnah dengan tak pernah diperlakukan sedemikian sepanjang 61 tahun kita berkerajaan.

“PRK ini mewakili rakyat untuk beri isyarat jelas bahawa kita tak rela diperkotak-katikkan.”

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada UMNO Bahagian Kota Raja yang memberikan laluan kepadanya untuk menjadi calon serta barisan jentera yang memberikan sokongan.

Beliau berkata demikian dalam majlis memperkenalkan calon dan penyerahan anak angkat bahagian-bahagian Negeri Selangor yang diadakan di Command Centre PRK N49 Sungai Kandis, malam ini. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit