Hina Nabi: Pemuda UMNO, Belia 4B Nibong Tebal Buat Laporan Polis

NIBONG TEBAL, 22 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Nibong Tebal dan Gerakan Belia 4B Kawasan Nibong Tebal hari ini membuat laporan terhadap pemilik akaun Facebook bernama Balan Pillai berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Nibong Tebal Rokiman Shah Harun di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, di sini kira-kira 3 petang.

“Laporan polis ini adalah untuk meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat akaun Facebook ini dengan segera. Yang keduanya, kami juga meminta Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun ini.

“Kami juga berharap kerajaan Pakatan Harapan supaya sensitif dan dapat ambil tindakan yang segera dan sewajarnya,” kata Mohd Norhiesam kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Dalam Facebook menerusi akaun bernama Ballan Pillai itu didakwa memburukkan Nabi Muhammad SAW dan menghina umat Islam yang melakukan tawaf di Kaabah selain menyatakan agama Islam sebagai agama pengganas.

Mohd Norhiesam berkata tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ketegangan antara agama.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.