“Saya Akan Setia Dengan Parti Saya” – Khairy

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hari ini mempertahankan tindakannya yang kekal berada dalam Dewan Rakyat ketika anggota pembangkang yang lain dari UMNO dan PAS bertindak keluar dewan semalam.

Tindakan beliau itu disertai bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis).

Kecuali mereka berdua, kesemua anggota pembangkang dari kedua-dua parti itu bertindak  meninggalkan sidang dewan, sebagai tanda protes berhubung proses pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Pembangkang mendakwa proses pelantikan itu tidak mengikut Peraturan Mesyuarat berdasarkan peruntukan 4 (1) berkaitan 14 hari pemakluman kepada Setiausaha Dewan Rakyat.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO menegaskan walaupun tindakan itu dilihat melawan arus, namun beliau tidak bermaksud akan meninggalkan parti Melayu itu.

Sesetengah  pihak menyifatkan tindakannya itu sebagai  tidak setia kepada parti.

“Tentulah tidak… saya akan setia dengan parti saya,” katanya ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen selepas perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, hari ini.

Khairy ditanya sama ada beliau akan meninggalkan UMNO yang kini berjuang sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.

Khairy sebelum ini menjelaskan bahawa tindakannya untuk kekal berada di dalam dewan kerana mahu menghormati majlis dan berkata keluar dewan bukan cara sesuai menyatakan bantahan.