Perubahan Landskap Politik Masa Kini Cabaran Baharu Bagi Perlis – Azlan Man

ARAU, 17 Julai – Kerajaan Perlis menyifatkan perubahan landskap politik masakini sebagai cabaran baharu yang perlu ditangani dengan matang supaya negeri dan rakyat mendapat faedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Justeru, beliau berkata kerajaan Perlis akan bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi memastikan pembangunan negeri diteruskan.

“Realiti ini akan ditangani dengan matang supaya hasrat kita mencapai negeri maju menjelang tahun 2030 tercapai,” kata Azlan yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat negeri sempena sambutan keputeraan baginda yang ke-75 di Balai Menghadap Istana Arau, hari ini.

Sempena sambutan itu Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Perlis (DK) kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah. Majlis anugerah kepada Sultan Kedah itu akan diadakan dalam satu majlis khas kemudian.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah mengetuai seramai 34 orang penerima hari ini. Sejumlah 264 lagi penerima darjah kebesaran dan pingat akan menerimanya pada majlis lain yang ditetapkan.

Menurut Azlan kerajaan negeri akan membina dan mengukuhkan infrastruktur asas serta mewujudkan persekitran ekonomi yang kondusif bagi menarik pelabur dan tidak akan bergantung semata-mata kepada sektor ekonomi tradisi seperti pertanian.

“Kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta untuk menjadi pemacu pembangunan selain memberi perhatian serius terhadap isu perumahan dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan penjawat awam.

Dalam hubungan ini tumpuan diberikan untuk meningkatkan pengangkutan darat, laut dan logistik, tenaga hijau boleh diperbaharui, pelancongan, pembuatan mesra alam dan halal serta pertanian berteknoloji,” katanya.

Azlan berkata laporan banci terkini menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita bagi tahun 2016 negeri Perlis meningkat kepada RM22,479 berbanding RM18,299 pada 2011.

Purata pendapatan isi rumah kasar bulanan pula meningkat menjadi RM5,000 pada 2016 berbanding RM3,500 pada 2011, katanya dan menambah kemiskinan di Perlis cuma 0.1 peratus dan tiada miskin tegar sejak 2016.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.