Najib Mahu Jadi Pembangkang Konstruktif

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak, pada hari pertama menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat sebagai pembangkang, berkata beliau akan memainkan peranan baharunya itu secara konstruktif walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan penting.

Bekas perdana menteri itu berkata matlamat utamanya kini adalah berkhidmat kepada rakyat di kawasan Parlimen Pekan yang diwakilinya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

“Perkara ini saya terima (jadi pembangkang), dan saya mahu berkhidmat pada rakyat, kita juga mahu supaya proses demokrasi di negara ini dapat berjalan dengan sihat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional yang dikemudi Najib tewas kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun beliau berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Pekan dengan majoriti 24,859 undi.

Beliau juga berharap agar kerajaan PH akan berlaku adil kepada semua anggota Parlimen tanpa mengira sama ada mereka di pihak kerajaan atau pembangkang.

Menurutnya, inilah peluang bagi PH membuktikan yang mereka benar-benar memperjuangkan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Dulu semasa saya dalam kerajaan kita sering dipersalahkan (kerana dikatakan tidak adil), jadi sekarang apabila sudah berkuasa mereka perlu buktikan komitmen tersebut dan membenarkan pembangkang pada hari ini bersuara,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.