UMNO Tentang Sebarang Usaha Rai Dan Sebarkan Mazhab Syiah

BAGAN DATUK, 12 Julai – Sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk meraikan mazhab Syiah dan membebaskan ia disebarkan di negara ini perlu ditolak sekeras-kerasnya, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Ahmad Zahid, walaupun menghormati pengikut mazhab itu, namun usaha untuk mengasimilasikan fahaman itu di kalangan ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini bakal menyebabkan perpecahan lebih teruk di kalangan umat Islam.

“Mana mungkin negara kita yang meletakkan di dalam Perlembagaan 3(1) Agama Islam ada Agama Persekutuan, walaupun dalam perlembagaan tidak sebut namun amalan kita berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia harus dihormati kerana ia kontrak sosial kita.

“Dalam Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa kita menolak Syiah bukan kerana kita benci tetapi kita tidak mahu ajaran ini memesongkan ajaran orang Islam di Malaysia ini,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran meraikan 93 bakal haji kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini petang ini.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu mengulas mengenai sebuah portal tempatan melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan pengikut Syiah mempunyai hak sebagai warganegara selagi tidak melakukan jenayah.

Sementara itu dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk mengulangi pendirian UMNO akan memainkan peranan dan mengambil kepedulian memantau pendirian kerajaan berhubung isu tersebut.

“Kita tahu bahawa umat Islam orang Melayu dan Pribumi berpecah kepada enam berdasarkan meraikan perbezaan pendapat dalam politik. Kita tak mampu melayani perpecahan di kalangan mazhab berbeza ini.

“Walupun kita hormati negara berkenaan yang amalkan mazhab tersebut, dari segi diplomatik kita menghormatinya, namun bagi mengizinkan penyebaran ajaran Syiah (ke dalam negara) tidak sama sekali,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya turut menolak tindakan pihak kerajaan yang telah menandatangani satu perjanjian persefahaman yang dibuat oleh Institusi Terjemahan Malaysia baru-baru ini dengan sebuah negara yang terkenal dengan pembawakan mazhab terbabit.

“Kami berlapang dada jika buku-buku itu adalah buku berunsurkan ilmu sains dan teknologi, tapi jika ia mengizinkan novel kesusasteraan atau bahan-bahan pengajaran dalam fahaman syiah, tentu kita menolaknya kerana KDN ada bahagian penerbitan buku dan al-Quran. Mereka menolak (unsur berkenaan) berdasarkan garis panduan ditentukan fatwa,” katanya.

Justeru beliau menyeru para ulama, cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam untuk bersama UMNO menolak sebarang usaha untuk membenarkan fahaman itu masuk ke negara ini.


5 months ago