Kerajaan Pakatan Harapan Disindir Gagal Turun Harga Barang

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir kerajaan Pakatan Harapan kerana gagal memastikan harga barang turun biarpun cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada kadar sifar.

Najib memaklumkan, beliau terkejut apabila membaca kenyataan seorang menteri kerajaan Pakatan Harapan yang mengakui GST yang diperkenalkan Ahli Parlimen Pekan itu bukan penyebab utama harga barang naik.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan ketika menjadi pembangkang menjadikan isu GST sebagai modal dan tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), sering mempersendakan jawatan yang diberikan dan kini mereka terpaksa menelan hakikat di sebalik tuduhan dilemparkan.

“Oleh kerana harga barang tidak turun selepas GST disifarkan, saya bimbang apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenal dan diperluaskan pada September nanti, harga barang akan naik lebih tinggi berbanding sebelum GST disifarkan.

“Inilah bahaya apabila sistem cukai diubah sesuka hati dan BN pernah memberi amaran sebelum PRU14 mengenai ini,” katanya dalam entri terbaharu di akaun Facebooknya hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam mengakui GST bukan penyebab utama kepada kenaikan harga barang naik, sebaliknya disebabkan beberapa faktor lain.

Sementara itu, Najib berkata, pelaksanaan GST sifar dan SST kelak dikhuatiri akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

Katanya, perkara itu bertentangan dengan janji Pakatan Harapan yang memberi harapan setinggi gunung untuk menurunkan kos sara hidup rakyat dalam manifesto mereka.

“Saya harap kerajaan Pakatan Harapan akan buat sesuatu untuk memastikan kebimbangan ini tidak menjadi kenyataan,” tegasnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.