Tutup Tahfiz: Kerajaan PH Diminta Jangan Terpedaya Anasir Untuk Rosakkan Institusi Agama


NIBONG TEBAL, 11 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih oleh rakyat diminta agar jangan terpedaya dengan anasir-anasir yang boleh merosakan institusi agama di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja di setiap negeri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail membidas saranan agar kerajaan menutup pusat tahfiz yang dianggap tidak sesuai lantaran lebih baik sekiranya cadangan dibuat agar kerajaan PH menutup pusat-pusat hiburan yang ada.

“Jangan gadaikan agama Islam di Malaysia. Tolong jangan terus bermain dengan sentimen agama.”

Dalam hal ini, beliau mengulas kenyataan seorang bekas menteri iaitu Tan Sri Zainuddin Maidin yang meminta kerajaan PH supaya menutup sekolah tahfiz di negara ini.

Jelas beliau, sebagai seorang bekas menteri, tidak sepatutnya kenyataan sebegitu dikeluarkan apatah lagi beliau adalah seseorang yang beragama Islam.

“Zainuddin Maidin sepatutnya menyarankan agar pusat-pusat hiburan, pusat urut, judi dan segala macam kemaksiatan yang dibuka bak cendawan tumbuh selepas hujan itu yang ditutup dan bukannya sekolah tahfiz yang membawa sejuta kebaikan kepada anak bangsa,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Katanya, Zainuddin hanya mengeluarkan beberapa contoh yang menunjukkan sekolah tahfiz yang dieksploitasikan oleh beberapa pihak, tapi mengapa dia tidak melihat hasil yang lahir daripada sekolah tahfiz.

“Sebenarnya, dia perlu melihat Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang digubal semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Mohd Najib Razak melalui cendiakawan Islam yang membawa perubahan besar kepada institusi tahfiz di negara kita.

“Kita lihat melalui dasar ini, kerajaan BN telah menyasarkan 125,000 Huffaz bukan semata-mata Hafiz tetapi golongan professional juga. Bekas menteri itu juga perlu melihat program Ulul Albab yang telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh ketika menjadi Menteri Besar Terengganu dahulu dengan membawa banyak perubahan lanskap pelajar yang bukan sahaja menghafaz tetapi membawa kejayaan dalam bidang akademik,”

Jelas Norhiesam, program tersebut telah diperluaskan kepada Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama diseluruh negara kerana kerajaan ketika itu iaitu BN yakin aliran tahfiz ini mempunyai potensi besar melahirkan insan yang cemerlang, mempunyai pemikiran tajam serta mampu menjadi manusia seimbang duniawi serta ukhrawi.

“Sebagai orang Islam yang beriman, percayalah doa mereka yang menghafaz Al Quran ini sangat mustajab dan dekat dengan Allah.”

Selaras dengan itu, beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan terus istiqamah mempertahankan pusat tahfiz walaupun apa yang terjadi. – MediaUMNO