Wanita Berjaya Kumpul RM261,286 Beserta Dua Utas Gelang Emas Bantu DS Najib

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pergerakan tersebut membawa semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim dalam menghulurkan bantuan kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Jelas beliau, hasil solidariti sesama ahli dalam usaha membantu mantan Presiden UMNO itu, sebanyak  RM261,286 beserta dua utas gelang emas telah berjaya dikumpulkan.

“Kita telahpun menyerahkan wang tersebut kepada Datuk Seri Najib bagi membayar wang ikat jamin yang perlu dibayar oleh beliau pada 9 Julai ini.

“Hasil kutipan ini termasuklah sumbangan berjumlah RM3,000 yang diperolehi oleh Datuk Zaleha Bujang, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jasin yang rela hati melelong gelang emas miliknya dan telah dibeli oleh seorang individu.

“Terdapat juga tawaran-tawaran lain dari ahli-ahli Wanita UMNO untuk melakukan perkara sama demi mendapatkan lebih kutipan dalam menyumbang kepada usaha ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Noraini, ini bukan kali pertama Wanita UMNO berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti.

“Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emasnya untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada tahun 1957 untuk menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita UMNO.

“Wanita UMNO berjanji akan terus bersama keluarga besar UMNO yang berpegang teguh kepada semangat setiakawan dan perpaduan di ketika senang dan susah. Wanita tekad mempertahankan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara, ketika pemimpin itu masih memimpin mahupun setelah mereka melepaskan jawatan.

“Solidariti ahli-ahli UMNO ini akan terus menjadi kekuatan parti menempuh cabaran yang sedang didepani ketika ini,” tegas beliau.

Justeru, sebagai ketua pergerakan tersebut, beliau berasa amat bangga dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh ahli-ahli Wanita UMNO di seluruh negara untuk membantu Datuk Seri Najib.

Beliau berharap agar ahli Wanita terus menjadi Melayu yang tidak mudah lupa kepada jasa dan bakti pemimpin terdahulu dan Wanita akan terus kekal kukuh membenteng parti keramat UMNO. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.