Kenyataan Menteri 72 Peratus Harga Barang Turun Selepas Sifar GST Diragui


Kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan.

1. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyataan bahawa 72% barangan asas mengalami penurunan harga selepas GST dikadar sifarkan pada 1 Jun lalu menerusi kajian yang dibuat oleh Majlis Harga Negara untuk tempoh 28 Mei 2018 hingga 25 Jun 2018.

2. Kenyataan yang dibuat menteri ini dilihat sangat meragukan, terutamanya tanpa sebarang bukti dan butiran kajian Majlis Harga Negara tersebut. Saya mendapat banyak rungutan dari rakyat yang menyatakan harga barangan tidak mengalami penurunan walaupun GST telah diturunkan pada kadar 0%. Apatah lagi sewaktu tempoh musim perayaan masih lagi berlangsung pada ketika ini.

3. Selain itu, KPDNKK seharusnya menyedari bahawa terdapat sebilangan peniaga yang telah terlebih dahulu menaikkan harga barangan sebelum GST dikadar sifarkan dan sebarang penurunan harga selepas GST 0% hanyalah mengembalikan harga barangan tersebut kepada harga asal barangan tersebut.

4. Mengambil contoh barangan yang mengalami penurunan harga seperti yang diberikan oleh menteri iaitu bawang merah kecil rose (walaupun sememangnya 0% GST); Laporan Harga Purata Terkini Peringkat Runcit Komoditi Harian yang dikeluarkan FAMA pada 1 Mei 2018 di daerah Petaling, Selangor mendapati harga purata bagi produk ini adalah RM7.00 sekilogram, namun pada 29 Mei 2018 harganya melambung kepada RM8.00 manakala pada 23 Jun 2018, harga puratanya adalah RM7.50 setiap kilogram. Bermakna di sini jelas, harga telah naik terlebih dahulu sebelum berlakunya penurunan.

5. Perkara ini turut diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman dalam sebuah wacana baru-baru ini. MTEM menerusi tinjauan yang dilakukan turut mendapati harga barangan asas masih lagi mahal walaupun selepas GST kadar sifar dilaksanakan.

6. Tetapi mungkin saya silap. Mungkin MTEM silap. Barangkali orang-orang Menteri lebih kerap turun ke pasar dan kedai runcit. Mungkin sahabat-sahabat boleh bantu tunjukkan sebarang contoh harga barang yang menurun supaya kita pun turut sama boleh bantu mewar-warkan fenomena penurunan harga barang yang dilaporkan Menteri. ?

7. Sambil itu, kita nantikan laporan penuh data dan statistik pengguna bagi bulan Jun dikeluarkan oleh agensi berkaitan dan kita saksikan bukti fenomena 70% yang dihebahkan ini. kami mendesar agar pihak KPDNKK dapat mengeluarkan laporan penuh kajian yang telah dijalankan oleh Majlis Harga Barang ini bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan kenyataan menteri ini dengan realiti sebenar yang berlaku.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.