Institusi Agama Bantu Lahirkan Modal Insan Berkualiti – Tengku Abdullah

PEKAN, 7 Julai – Institusi atau pusat pengajian agama di negeri ini diharap dapat memainkan peranan untuk menerapkan ajaran Islam dalam kalangan modal insan khususnya golongan muda bagi mengelakkan mereka terjebak dengan pelbagai masalah sosial, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah teras agama adalah penting untuk membangunkan modal insan yang berkualiti dan bukan hanya dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata tetapi juga aspek kerohanian.

“Modal insan yang dilahirkan untuk membantu membina negara, perlu diperkukuhkan dengan aspek kerohanian kerana ia akan membantu memelihara perilaku serta tindakan mereka.

“Jadi, saya melihat institusi agama seperti Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar berjaya menjadi sebuah pusat terbaik, bukan sahaja untuk menimba ilmu agama tetapi juga akademik selain memupuk nilai mulia dalam kalangan modal insan yang dilahirkan di sini,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian merasmikan sambutan Jubli Intan Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda bertitah, institusi yang diwujudkan sejak 77 tahun itu berjaya memartabatkan ilmu dan kefahaman Islam sehingga dikenali sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam ulung yang telah melahirkan ramai ilmuan agama.

“Kuliah ini juga merupakan satu lambang hasrat dan usaha Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin yang memerintah Pahang ketika itu dan mahu melihat Islam berkembang maju di negeri ini,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah, institusi itu juga memenuhi keperluan masyarakat pada masa kini terutama pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang agama Islam.

“Buktinya, pada tahun lepAs sahaja seramai 367 pelajar berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi dalam dan luar negara terutama di Mesir dan Jordan,”, titah baginda

Menurut baginda Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar berjaya mencatat rekod cemerlang sebagai sekolah terbaik menerusi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri ini.