UMNO Wujudkan Tiga Badan Bertindak Parti – Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Azalina Othman Said telah dilantik untuk mengetuai badan bertindak penyelidikan dan perundangan UMNO.

Menurut beliau UMNO kini harus memandang serius dalam soal penyelidikan bukan hanya soal politik semata-mata tetapi juga isu-isu yang berkaitan dengan negara keseluruhannya.

“Kita ambil pendekatan holistik. Kita juga melihat kepada sebuah unit penyelidikan  yang harus disegerakan di mana Majlis Tertinggi telah bersetuju untuk melantik Datuk Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengetuai jabatan penyelidikan. Kita harus serius dalam soal ini bukan hanya soal politik tetapi isu-isu yang berkaitan dengan negara secara keseluruhan.

“Manakala kita juga mewujudkan unit perundangan untuk mengkaji beberapa isu yang melibatkan undang-undang yang  sedang dihadapi oleh UMNO dan tanggungjawab ini kita berikan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Beliau akan bekerjasama dengan beberapa firma guaman melalui firma guaman beliau sendiri untuk menangani permasalahan perundangan yang dihadapi oleh UMNO dan juga tokoh-tokoh  serta ahli parti yang sedang atau yang akan menghadapi masalah perundangan. Di samping itu beliau juga ditugaskan untuk memberikan input berdasarkan penyelidikan yang dibuat kepada ahli-ahli parlimen UMNO dan BN.

“Dan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan pula akan mengetuai badan bertindak bagi mengkaji dan meneliti 30 akujanji yang telah dilontarkan oleh calon presiden termasuk diri saya dalam pemilihan UMNO yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat  Majlis Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya memberitahu dalam soal ketua pembangkang di Parlimen, perlara tersebut akan dibincangkan bersama rakan-rakan parti pembangkang yang lain.

“Kita akan membincangkan siapa yang akan mengetuai pembangkang di Parlimen setelah perbincangan dilakukan bersama rakan-rakan parti pembangkang yang lain dan jika ahli-ahli parlimen bebas mahu menyertai perbincangan kumpulan kami kelak maka perbincangan juga akan diadakan.

“Dan oleh kerana ketua pembangkang ini lazimnya adalah presiden parti-parti di dalam barisan pembangkang maka kita akan mengadakan musyawarah di kalangan ahli-ahli parlimen dari pelbagai parti ini untuk kita menentukan siapakah ketua pembangkang,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu soal pilihan raya kecil di Dewan Undangan (DUN) Sungai Kandis juga turut dibincangkan dan  sebarang keputusan akan diumumkan pada hari yang sesuai. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.