Pihak Pendakwaan Tidak Bersedia – Peguam Najib

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kesediaan pasukan pendakwaan dalam membawa prosiding kes melibatkan anak guamnya itu.

Beliau menyifatkan pasukan pendakwaan yang diwakili Peguam Negara Tommy Thomas mungkin masih mencari bukti berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Anggota Parlimen Pekan itu dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

“Kami minta Februari dan Mac untuk perbicaraan, kami mahu lagi awal kalau boleh tetapi yang peliknya orang yang tuduh tak sedia.

“Mungkin masih lagi meraba-raba cari bukti, kami tak tahu,” katanya ketika ditemui pemberita setelah selesai prosiding kes berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang prosiding kes yang melibatkan bekas presiden UMNO itu.

Beliau turut berpendapat keputusan mahkamah berhubung jumlah ikat jamin sebanyak RM 1 juta itu juga lebih memihak kepada anak guamnya.

Sementara itu, Muhammad Shafee turut mengulas permohonan pihaknya yang mahukan sekatan dibuat terhadap kenyataan media oleh mana-mana individu yang disifatkan akan menganggu proses perbicaraan.

“Kita minta sekatan terhadap kenyataan media yang dibuat oleh orang-orang yang tiada kena mengena langsung dengan kes, kerana fakta yang sebenar akan dilahirkan dalam perbicaraan.

“Kalau kita bincang macam kat kedai kopi masuk dalam media, hakim pun manusia biasa walaupun dia orang yang terpelajar, dia buat fakta dan undang-undang jadi tak mahu dia pun terpengaruh dan mana-mana individu mahupun Datuk Seri Najib tidak boleh membuat sebarang komen di mana-mana media,” jelasnya yang turut menyatakan hanya laporan klinikal sahaja dibenar untuk disiarkan.

Terdahulu, Najib menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Sofian Abd Razak membenarkan Najib diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin dan memerintahkan Najib menyerahkan dua dokumen perjalanan beliau kepada mahkamah.

Beliau kemudiannya menetapkan tarikh perbicaraan selama 19 hari dari 18 Feb sehingga 28 Feb 2019, 4 Mac sehingga 8 Mac 2019, dan 11 Mac sehingga 15 Mac 2019.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.