Apa Hak Pasukan Khas Siasatan 1MDB Dedah Maklumat Penahanan, Pendakwaan Najib?

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi mempertikaikan hak pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MBD) yang diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dalam mendedahkan maklumat tentang penahanan dan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Jelas beliau, hanya pihak polis ataupun SPRM yang boleh mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara tersebut.

“Tindakan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib memperjelaskan betapa autokratiknya pentadbiran Tun Mahathir Mohamad terutamanya bila jawatankuasa SPRM boleh mengeluarkan surat dan memberitahu Najib akan ditahan, didakwa malah memberitahu tarikhnya pada hari ini.

“Apa autoriti mereka untuk berbuat demikian? Bar Council sendiri mempertikaikan perkara ini kerana mereka tidak ada hak,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Puad, beliau yakin bahawa Najib telah dianiaya sejak awal lagi dan cara beliau diperlakukan seolah-olah mahu menyalahkan Najib sebelum perbicaraan dijalankan.

“Kita lihat bagaimana rumah Najib digeledah, barang diambil dan diumumkan nilai rampasan tanpa menjelaskan daripada mana sumbernya sedangkan Najib sudah menjelaskan bahawa sebahagiannya adalah hadiah dari pemimpin luar.

“inilah yang mendukacitakan,” jelas beliau.

Najib hari ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.