Tangguhkan Surcaj, Pemberhentian Rebat, Elak Kos Berganda Kepada Rakyat – Pemuda

KUALA LUMPUR 3 Julai – Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan supaya menangguhkan pelepasan surcaj dan pemberhentian rebat pada kadar tarif elektrik bagi mengelakkan kenaikan kos berganda kepada rakyat, yang kesemuanya tampak berlaku dalam suatu tempoh yang singkat.

 

Naib Ketuanya, Shahril Hamdan berkata, pengumuman mengenai pelarasan Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) baru-baru ini akan menyaksikan pengguna bukan domestik (bukan isi rumah, iaitu lazimnya komersial) akan dikenakan surcaj sebanyak RM1.35 sen bagi setiap kWj.

“Lebih daripada itu, semua penggunaan (tanpa mengira kediaman atau komersial) yang melebihi 300kWj sebulan tidak lagi akan menerima rebat yang diberi bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Semua ini secara tidak langsung akan menyebabkan kenaikan kadar tarif efektif elektrik dan sekali gus ini akan menambahkan beban kewangan kepada rakyat selaku pengguna utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahril berkata, rebat ICPT telah dinikmati oleh semua segmen pengguna untuk tempoh lebih tiga tahun di bawah kerajaan BN sebelum ini semenjak pelarasan ICPT ini diperkenalkan pada tahun 2015.

“Namun, kerajaan Pakatan Harapan yang baharu berusia kurang dua bulan telah mengambil tindakan bukan sahaja menamatkan pemberian rebat malah telah mengenakan pula surcaj menerusi pelarasan ini.

“Ini memberikan kesan kepada 2.5 juta atau lebih kurang 36 peratus pengguna domestik (isi rumah/rakyat biasa) yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj sebulan.

“Mereka tidak lagi akan menerima rebat dan kini terpaksa membayar tarif elektrik pada kadar asas sepenuhnya. Dalam bahasa mudah, bil elektrik naik,” ujarnya.

Malah tegas beliau lagi tidak cukup dengan soal rebat dan surcaj elektrik, baru-baru ini juga Gas Malaysia Berhad mengumumkan kenaikan tarif asas gas asli sebanyak 77 sen bagi sektor bukan tenaga, yang memberi kesan kepada semua segmen pengguna tidak kira kediaman atau komersil.

Kenaikan tarif asas gas asli dan kenaikan tarif elektrik ini tambahnyaakan memberikan kesan berganda – terhadap kos operasi perniagaan dan juga isi rumah.

“Kesan daripada kenaikan berganda ini akhirnya akan menyebabkan kos sara hidup rakyat kian meningkat.

“Segala perkembangan ini berlaku tatkala penurunan kadar GST kepada sifar peratus tidak terbukti berjaya menurunkan harga barang malah terdapat banyak rungutan mengenai kenaikan harga selepas keputusan tersebut dibuat”, katanya.

Barangkali jelas beliau setelah pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kelak, satu lagi tamparan inflasi bakal melanda rakyat Malaysia.

“Persoalan pokoknya, di manakah pelaksanaan manifesto kerajaan HARAPAN ketika PRU-14 lalu yang berjanji untuk meringankan beban hidup rakyat?

“Rakyat masih menantikannya”, ujarnya lagi. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.