Kerajaan PH Diingat Jangan Sombong, Angkuh, Dulu Janji Bantu Rakyat

ALOR SETAR, 3 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak mengamalkan sikap tidak peduli tentang keluhan rakyat berkaitan kos sara hidup dan beban seharian sedangkan semasa menjadi pembangkang dahulu, mereka cukup lantang membantah kenaikan caj elektrik dan harga barangan, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Katanya, kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersil yang berkuat kuasa semalam wajar dikaji semula kerana ia turut memberi impak kepada orang ramai dan bakal memberi kesan kepada kadar inflasi negara.

“Semasa mereka menjadi pembangkang dahulu, mereka cukup lantang membantah kenaikan caj elektrik dan kenaikan harga barangan tetapi setelah menjadi kerajaan pemerintah hari ini janganlah pula mereka bersikap alpa.”

Jelas beliau, dakwaan yang mengatakan kononnya kenaikan caj itu tidak akan memberi kesan kepada orang ramai adalah tidak benar dan hanya satu propaganda politik mengelirukan rakyat.

“Tenaga elektrik digunakan sebagai input untuk menghasilkan kebanyakan barangan dan perkhidmatan, harga elektrik yang lebih tinggi boleh menjejaskan harga sektor-sektor ekonomi yang lain secara langsung dan tidak langsung.

“Walaupun majoriti pengguna tidak akan mengalami kenaikan tarif secara langsung namun pengguna akan mengalami kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Ini kerana akibat kenaikan tarif elektrik, kos pengeluaran juga akan meningkat. Sejauh mana kesan kenaikan ini kepada kos barangan bergantung kepada kepentingan kos elektrik kepada pembuatan barang berkenaan. Jika kos elektrik merupakan komponen utama dalam kos pengeluaran, maka kesannya adalah besar,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jelas Syed Johan Rizal, apabila kos pengeluaran naik, besar kemungkinan harga jualan barangan tersebut juga akan meningkat dan pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk barangan tersebut, maka harus difahami bahawa, harga yang diterima setiap sektor produktif seunit output mesti sama dengan perbelanjaan keseluruhan yang ditanggung dalam pengeluarannya.

“Perbelanjaan ini meliputi bukan sahaja bayaran untuk input yang dibeli daripada perkara yang sama dan daripada industri-industri lain, tetapi juga nilai ditambah iaitu upah, gaji, keuntungan, cukai dan lain-lain yang pada dasarnya merupakan pembayaran kepada sektor-sektor luaran.

“Penurunan GST ke sifar peratus setakat ini juga kelihatan tidak memberi impak positif kepada harga barang, namun jangka masa panjang, apabila SST diperkenalkan semula bulan September ini, harga barang akan melonjak naik dengan lebih drastik.

“Oleh yang demikian, jemaah menteri harus mengkaji semula kenaikan tarif ini supaya rakyat tidak terkesan bebanannya,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.