Dana Yayasan Akalbudi Tidak Diseleweng – Zahid

PUTRAJAYA, 3 Julai – Dana Yayasan Akalbudi tidak pernah diseleweng, malah masalah yang timbul adalah akibat salah faham, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia berpunca daripada kesilapan pegawai beliau yang sepatutnya menggunakan akaun peribadinya untuk menjelaskan bayaran kad kredit miliknya dan isteri, namun berlaku kekeliruan sehingga dana akaun yayasan berkenaan digunakan untuk tujuan itu.

“Walaupun niat pegawai saya tidak membuat penyelewengan tetapi tatacara itu tidak betul. Oleh itu, saya telah menjelaskan kembali kesemua bayaran itu menggunakan wang simpanan saya sendiri pada 2016.

“Selain itu, saya juga telah menyerahkan segala resit pembayaran termasuk fotokopi cek bayaran yang dibuat pada 2016,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan hampir tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu di sini hari ini.

“SPRM telah mengambil kenyataan saya dengan baik sekali. Tidak ada unsur penyelewengan daripada yayasan milik keluarga saya ini.

“Apa yang dibuat dalam yayasan ini adalah berkaitan dengan amal jariah seperti mendirikan masjid, pusat tahfiz, rumah anak yatim, bina surau dan beberapa aktiviti kebajikan seperti asnaf,” jelas bekas timbalan perdana menteri itu.

Ahmad Zahid sebelum ini dilapor menggunakan kira-kira RM800,000 dana daripada yayasan berkenaan untuk menjelaskan bayaran kad kredit itu antara 2014 dan 2015.

Semalam, SPRM merekodkan keterangan beliau berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad di ibu pejabat suruhanjaya itu.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.