Bersatu Hadapi Musuh Politik Tanpa Tinggalkan Parti – Rosnah


KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, di kala parti sedang di landa masalah, setiap pemimpin UMNO harus bersatu menghadapi musuh politik dengan kaedah yang bijaksana, dan mesti juga mempengaruhi khalayak dengan kewibawaan.

Jelas beliau pemimpin parti harus bertegas dengan fakta, statistik dan sudah tentu perdebatan haruslah berwibawa bukan sekadar hanya menabur janji dan kata setia tetapi di kala menghadapi masalah dan kejatuhan, kewibawaan itu hilang malah mencari kedudukan yang lebih selesa untuk kepentingan diri sendiri.

Justeru, beliau melahirkan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Dr. Noraini Ahmad yang mencabar ahli-ahli Parlimen BN yang keluar untuk meletak jawatan khususnya kepada Datuk Mas Ermieyati yang merupakan mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang bertaraf Naib Presiden UMNO.

“Seperti yang kita sedia maklum, Mas Emeryati telah keluar daripada parti UMNO semalam tanpa ada alasan yang kukuh. Jelas hilangnya jati diri dari sifat kepimpinan seseorang selepas menghadapi isu kekalahan PRU-14. Beliau pernah mengatakan kepada mantan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, iaitu ‘you will never walk alone’ namun belum sampai setahun, apabila sudah diuji dengan kejatuhan dan kekalahan yang besar ini, beliau dengan mudahnya memilih untuk berpaling tadah.

“Jika Mas Ermieyati ingin pastikan UMNO ini kekal menjadi parti yang menjaga kesejahteraan rakyat, dan membangunkan negara, beliau perlu setia terhadap parti bukan hanya tahu beralasan, tidak tahan diasak, obses dengan kemenangan dan menyertai pihak yang ditentang selama ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Rosnah, Mas Ermieyati juga perlu ingat bahawa dirinya dipilih sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah adalah kerana UMNO dan BN, kerana hasil kerja keras dan pengorbanan ahli-ahli parti, maka beliau tidak boleh memberi alasan dengan menjadikan pemilihan parti sebagai sebab keluar parti sedangkan tindakan hasrat tersebut sebenarnya sudah lama dirancang.

“Kami semua kecewa terutamanya ahli Puteri yang mengangkat dia sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, jawatan yang telah memberikan dia segala-galanya. Satu permintaan kami, lepaskan jawatan Ahli Parlimen yang dimenangi atas tiket UMNO dan BN. Mas Ermieyati tidak boleh mengkhianati kepercayaan rakyat seperti mana dia mengkhianati UMNO hari ini,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.