Sumbang Idea Bukan Tinggalkan Parti – Azalina


KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan perasaan kecewa atas tindakan bekas Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengisytihar diri keluar dari parti dan menjadi sebagai wakil rakyat bebas.

Menurutnya, ahli Parlimen Masjid Tanah itu seharusnya bersama-sama membantu parti menyumbang idea dan pengalaman ke arah menjadikan UMNO yang lebih baik bukannya bertindak meninggalkan parti.

“Walau tiada mana-mana undang-undang menghalang tindakannya itu, sebagai ahli parlimen yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) beliau perlu mempunyai obligasi moral terhadap pilihan dan kepercayaan pengundi serta sentiasa berpegang kepada amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Mereka yang meninggalkan parti perlu mengambil tanggungjawab tersebut bukannya memberi alasan atau menuding jari kepada orang lain. Mereka ahli politik yang tidak berprinsip adalah virus sebenar dalam parti,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu menyentuh mengenai pemilihan parti yang baharu sahaja selesai pada hujung minggu lalu, bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia yang pertama itu juga berharap semua yang bertanding menerima keputusan dengan berlapang dada dan menutup tirai pertandingan dengan melihat ke arah usaha membina semula parti ini.

“Demi survival parti yang kita cintai diharap pemimpin dan ahli-ahli UMNO di seluruh negara kekal bersatu hati untuk terus menyumbang bakti kepada bangsa, agama dan negara.

“Saya bertekad untuk membantu presiden dan kepimpinan yang lain bagi membawa perubahan kepada UMNO sekaligus mengembalikan sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang. Seperti yang ditegaskan sebelum ini suara akar umbi akan menjadi formula penting dalam setiap tindakan dan keputusan parti.

“Gerak kerja yang lebih agresif dan tersusun akan dirangka bagi membolehkan parti kembali kepada landasan asalnya,” ujarnya sambil bersyukur kerana diberi tanggungjawab sekali lagi oleh perwakilan sebagai ahli Majlis Tertinggi dan berjanji akan memikul amanah dengan sebaiknya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.