Dari Dunia Seni Ke Ahli MT UMNO, Dira Janji Beri Terbaik Untuk UMNO Bangkit


KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Majlis tertinggi (MT) UMNO, Khaidhirah Abu Zahar berkata, pemilihan beliau sebagai MT jelas menunjukkan bahawa UMNO sentiasa memberi ruang kepada orang baru dan mengamalkan keterbukaan untuk bersama-sama membawa perubahan dalam parti.

Jelas beliau, perlantikannya juga turut membuktikan bahawa UMNO tidak pernah meminggirkan anak muda.

“Dengan pemilihan ini saya berjanji akan bekerja keras dan bekerjasama dengan barisan kepimpinan MT UMNO yang baru dilantik bagi memastikan UMNO akan kembali mendapat kepercayaan rakyat khususnya anak muda.

“Mungkin dalam UMNO kita sedang menghadapi krisis keyakinan selepas tewas dalam PRU-14 lalu namun perkara utama setiap ahli UMNO terutama anak muda seperti saya harus lakukan ialah untuk menghayati semua asas perjuangan demi agama dan bangsa.

“Saya sendiri insaf bahawa UMNO hari ini adalah pembangkang bukan kerajaan justeru, kita perlu bekerja sebagai pembangkang yang mendahului rakyat,” jelas beliau.

Tambah Khaidhirah yang lebih dikenali sebagai Dira, beliau berharap tidak ada pihak yang mempertikaikan dirinya yang berlatar belakangkan dunia hiburan sebelum ini kerana walaupun dirinya seorang artis tetapi politik bukanlah sesuatu yang asing kepada dirinya.

Anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Datuk Seri Abu Zahar Haji Ishnin ini yakin, pemilihan dirinya itu mampu memberi nafas baru untuk pembentukkan semula parti keramat ini.

“Saya yakin apa yang berlaku ada hikmah. Ini adalah masa kami untuk membetulkan apa yang khilaf dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kemampuan UMNO untuk kembali menjadi teraju utama negara pada PRU 15.

“Dengan ini, besarlah harapan dari anak – anak muda yang masih ingin bersama dalam perjuangan UMNO ini, untuk di berikan ruang dan peluang bagi membuktikan taat setia kami kepada perjuangan UMNO, bukan untuk kepentingan peribadi.

“Mudah-mudahan setiap usaha yang dilakukan dalam saf kepimpinan baru ini akan di berkatiNya dan UMNO akan kembali menawan hati rakyat malaysia pada PRU yang akan datang,” ulas beliau.

Dira yang berkelulusan undang-undang turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada ahli yang telah memberi kepercayaan kepada dirinya untuk berada dalam barisan MT bagi sesi 2018-2021. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.