Ulas Pemilihan UMNO.. Kit Siang Jangan Nanti Dilabel ‘Tak Sekolah’, ‘Nyanyuk’

KUALA LUMPUR, 1 Julai – UMNO membidas Lim Kit Siang yang memberikan ulasan ‘hambar’ mengatakan kononnya keputusan pemilihan UMNO kali ini mencerminkan kemenangan calon-calon ‘strategis Najib Razak’.

Unit Komunikasi Strategik UMNO melihat Kit Siang yang antara politikus paling lama dan paling matang di Malaysia, nampaknya bukanlah seorang penganalisis politik yang bijak.

“Kit Siang sebaliknya melontarkan hujahan longgarnya tanpa membuat kajian mengenai sesuatu isu.

“Ini memperlihatkan kedunguan beliau di dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tegasnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan presiden tanpa undi bahagian Pekan pimpinan Najib, sedangkan semua tahu bahawa Najib sendiri menyerahkan tugas pemangku presiden kepada Zahid setelah meletak jawatan.

“Kit Siang dan rakan-rakan penasihat politiknya perlu diberitahu bahawa undi Pekan bagi calon Presiden diberikan kepada Tengku Razaleigh Hamzah, dan bukannya Zahid.

“Kit Siang juga perlu maklum bahawa wujudnya pencalonan yang begitu ramai pada pemilihan kali ini ialah simbol pulihnya demokrasi penuh dalam UMNO selepas 20 tahun.

“Bukan semua calon yang memenangi kerusi Naib Presiden dan Majlis Tertinggi adalah ‘pro-Zahid atau pro-Najib’, malah tidak wujud langsung kem-kem individu seperti yang difikirkan oleh Kit Siang.”

Jadi, katanya, apa pegangan terhadap analisis Kit Siang sebenarnya?

“Kenapa pula beliau menunjukkan kerisauan dengan UMNO Bangkit?

“UMNO kini boleh mendabik dada kerana amalan demokrasi yang ‘dibunuh’ oleh pemimpinnya yang terdahulu sejak 1988 kini dihidupkan kembali.

“Berbanding Dap yang melaung-laungkan slogan ‘demokratiknya’, beliau seharusnya memperhalusi ‘cengkaman ala diktatornya’ di dalam parti yang sudah terlalu banyak mengelirukan rakyat itu sedangkan orang yang sama memegang jawatan dalam Dap untuk sekian kalinya.”

Bidas beliau lagi, sayang, pemimpin yang mendabik dada dengan demokrasinya ini cuma nampak kuman di seberang laut, sedangkan gajah di depan mata diabaikan!

“Janganlah pada usia begini, kita dilabel sebagai ‘tak sekolah’ dan ‘nyanyuk’.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.