Semua Pihak Perlu Mainkan Peranan Pulihkan Parti – Mohamad

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Timbalan Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua ahli UMNO perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk memulihkan sokongan rakyat, khususnya bangsa Melayu terhadap parti.

Jelas beliau, tanggungjawab untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap UMNO tidak boleh hanya dibebani ke atas bahu presiden semata-mata, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab semua.

“Ahli-ahli UMNO perlu bersama-sama untuk memulihkan parti ini semula. Baik dikepimpinan tertinggi sehinggalah ke peringkat akar umbi.

“Dalam keadaan kapal kita yang sedang dilambung ombak, semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama. Bukan nakhoda saja yang perlu mengemudikan kapal, tapi semua orang perlu mainkan peranan.

“Yang pegang tali layar, yang kayuh pendayung, yang buang air dari kapal supaya kapal tak tenggelam, semua kena mainkan peranan.

“Bukan presiden seorang saja yang perlu memulihkan parti, tetapi timbalan presiden, naib-naib dan ahli MT, semua perlu mainkan peranan,” ujarnya dalam satu sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Jadi katanya, tidak timbul soal tanggungjawab presiden seorang sahaja yang perlu mainkan peranan untuk memulihkan parti.

Kata beliau lagi, sebagai Timbalan Presiden beliau akan memainkan peranan untuk menstruktur semula pengurusan parti sebagai langkah menyusun semula pentabiran parti dalam keadaan UMNO tidak lagi menjadi kerajaan.

“Alhamdulillah, dengan takdir Allah saya menang dalam pemilihan ini. Saya akan jalankan tugas sebagai ketua pengurusan parti.

“Saya akan tumpukan kepada pengurusan parti, sebab apa saja organisasi, macam mana besar sekalipun, jika ia tidak diurus dengan baik, maka organisasi itu akan jatuh.

“Biarkan presiden menjalankan tugasnya, menjelajah ke seluruh negara untuk menyatupadukan ahli, menaikkan semangat juang ahli-ahli parti, dan memastikan tidak ada perpecahan,” tegasnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.