Pemilihan UMNO: Najib Ucap Tahniah Kepada Ahmad Zahid, Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kejayaan dipilih menjadi Presiden UMNO yang baharu bagi penggal 2018-2021.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Ketua UMNO Bahagian Rembau dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO baharu semalam.

“Tiba masanya kita mengukuhkan barisan kita demi agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi laman Twitter hari ini.

Ahmad Zahid, yang sebelum ini naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, dipilih sebagai Presiden UMNO apabila mendapat 93 undi, jauh meninggalkan dua pencabar utamanya iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang memperoleh 51 undi dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah yang meraih 23 undi.

Mohamad pula dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO selepas mendapat 110 undi menewaskan Ketua Penerangan UMNO merangkap Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa (47 undi) setakat semalam.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada satu sidang media tengah malam tadi berkata senarai penuh keputusan Pemilihan UMNO 2018 diumumkan hari ini.

Ini merupakan kali pertama dalam tiga dekad jawatan presiden parti dipertandingkan.

Kali terakhir jawatan itu dipertandingkan ialah pada 1987 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menyandang presiden parti mendapat kemenangan tipis untuk menewaskan Tengku Razaleigh dengan 43 undi.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.