Seramai 73 Ketua Bahagian Menang Tanpa Bertanding Pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kemenangan tanpa bertanding di 73 bahagian daripada 191 bahagian di seluruh negara memperlihatkan bahawa demokrasi dalam pemilihan UMNO berjalan dengan baik.

Jelasnya, perkara ini juga merupakan manifestasi bahawa demokrasi telah berjalan dengan kaedah yang terbaik melalui proses pemilihan ini.

“Di samping itu juga keputusan majlis tertinggi untuk membuka jawatan-jawatan di peringkat nasional untuk ditandingi telah membuka ruang seluas-luasnya bagi ahli-ahli yang layak untuk menawarkan diri.

“Kita lihat juga terdapat kemeriahan di dalam pemilihan kali ini di mana ibu pejabat UMNO malaysia bersama pejabat perhubungan negeri telah mengadakan majlis pengenalan calon-calon di peringkat negeri,” ujarnya dalam satu sidang media di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Tambah Zahid, majlis pengenalan calon di peringkat negeri akan terus dijalankan di beberapa negeri yang masih belum dilawati sebelum berlakunya proses pemilihan pada 30 Jun ini.

“Mulai daripada hari ini, jelajah pengenalan calon akan terus dilakukan bagi negeri-negeri yang masih belum kita lawati.

“Tumpuan akan diberikan kepada calon-calon yang bertanding diperingkat nasional sahaja tanpa melibatkan pertandingan diperingkat sayap-sayap,” jelasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.