Jagalah Etika Semasa Berkempen Dan Kekalkan Suasana Ukhuwah Untuk Parti – Annuar

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan seluruh ahli parti agar masing-masing tidak membakar emosi sempena pemilihan UMNO pada kali ini sebaliknya mengekalkan suasana ukhuwah antara satu dengan yang lain.

Sambil mengucapkan selamat bersidang dan selamat memilih kepimpinan sayap parti yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini, beliau penuh yakin ahli parti semuanya matang dan bijak menilai dalam membuat pilihan.

“Usah kita membakar emosi. Ahli parti semuanya matang dan bijak menilai. Jadi amatlah penting bakal pemimpin menunjukkan teladan yang baik, beretika dan penuh hikmah serta hasanah.

“Panggilan jelek seperti petualang, pembelot, perosak dan panggilan lain sesama sendiri tidak baik, elok di elakkan.  Ketengahkan idea bernas.Yang lama tidak semestinya buruk semua, yang baru juga belum tentu baik semua.

“Selepas pemilihan, semua kita mesti kembali berada dalam satu saf, saling sandar menyandar dan bahu membahu. Jangan bawa kembali budaya 80-an dan 90-an sehingga kita berpecah,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menegaskan ahli parti janganlah masing-masing berpuak sehingga wujud ‘personality cult’ serta jangan terlalu ghairah sehingga tidak boleh terima kekalahan.

“Jangan cuba menabur wang kerana desperado semata-mata nak menang. Pilihlah secara bebas tanpa ikatan. Semua ada kelebihan. Ada rekod perkhidmatan masing-masing.

“Kita mahukan yang baik, beriman, bijaksana, dihormati, berintegriti, mudah ke akar umbi,  senang digauli serta tahan diuji meredah onak dan duri.

“Pemulihan UMNO bukan semestinya dengan menukar batang tubuh semata-mata tetapi lebih penting lagi ialah penukaran dan penolakan budaya negatif yang menjengkelkan rakyat.

“Ia harus bermula daripada sekarang lagi. Saya mendoakan supaya semua ahli bertenang. Banyak- banyak bermunajat kepada Allah swt. Perjuangan ini adalah kerana agama dan kerana Allah swt. Kita pohon pertolongan dari-Nya,“ kata beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.