UMNO Papar Calon Yang Layak Bertanding Pemilihan UMNO 2018

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa Ibu Pejabat UMNO telah membuat semakan terhadap calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO 2018.

Katanya, senarai calon-calon bagi peringkat pusat yang telah disemak oleh pihak insolvensi dan juga mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan untuk bertanding boleh dimuatturun menerusi http://www.umno-online.my/calonpemilihan2018/

“Bagi senarai peringkat Bahagian boleh merujuk terus kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri atau Bahagian masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi calon ahli Majlis Tertinggi UMNO, seramai 106 orang yang layak bertanding di samping dua orang bagi calon Pengerusi Tetap, 14 orang calon Timbalan Pengerusi Tetap. Bagi jawatan calon Presiden UMNO, seramai lima orang layak bertanding sementara dua orang bagi calon Timbalan Presiden manakala tujuh orang bagi calon Naib Presiden UMNO.

Bagi calon Pergerakan Wanita UMNO pula, seramai tiga orang layak bertanding untuk calon Ketua Wanita, sementara empat orang bagi Naib Ketua Wanita dan bagi Jawatankuasanya pula seramai 81 orang menjadi calon. Untuk jawatan Pengerusi Tetap Wanita, terdapat dua orang calon manakala empat orang bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO.

Untuk calon Pergerakan Pemuda UMNO, seramai 207 orang calon bertanding dengan pecahan, dua orang Pengerusi Tetap, tiga orang Timbalan Pengerusi Tetap, sembilan orang bagi jawatan Ketua Pemuda dan sembilan orang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda serta selebihnya jawatankuasanya.

Calon Pergerakan Puteri UMNO pula membariskan dua orang yang bakal bertanding kerusi Timbalan Pengerusi Tetap, sementara Salbiah Saari menjadi calon tunggal untuk jawatan Timbalan Pengerusi Tetap, manakala jawatan Ketua Puteri membariskan dua calon dan Naib Ketua Puteri menampilkan lima calon serta 71 calon bagi jawatankuasanya.

Tarikh persidangan mensyuarat UMNO bagi Pergerakan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO akan berlangsung serentak dengan pemilihan pada Sabtu, 23 Jun sementara di peringkat bahagian pada Sabtu, 30 Jun 2018. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.