Perwakilan Berpeluang Pilih Yang Terbaik Bagi Terajui kepimpinan UMNO 30 Jun Ini

TEMERLOH, 20 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perwakilan parti berpeluang untuk membuat pilihan yang terbaik daripada senarai calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Beliau turut menyifatkan, jumlah calon yang ramai untuk bertanding pelbagai jawatan akan memberikan lebih variasi kepada perwakilan untuk menilai dan memilih yang terbaik antara yang terbaik bagi mengemudi parti UMNO.

“Ibu pejabat juga telah mengaturkan pertemuan semua calon daripada semua peringkat untuk pergi ke negeri-negeri bagi memberi peluang kepada calon untuk memperkenalkan diri. Dengan cara ini setiap perwakilan boleh mengenali siapa yang bertanding untuk jawatan apa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas dan Jamuan Hari Raya anjuran UMNO Pahang di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis yang diadakan secara tertutup itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan timbalannya Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin serta barisan kepimpinan UMNO negeri.

Hadir sama dua calon timbalan presiden iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa, empat daripada tujuh calon naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta calon Ketua Wanita Datuk Noraini Ahmad.

Pahang adalah destinasi pertama bagi calon-calon memperkenalkan diri dan ia akan diikuti dengan Kelantan dan Terengganu pada 21 Jun seterusnya ke negeri-negeri yang lain pula. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.