Permainan Politik Kerajaan PH Dibidas, Isu Kedaulatan Perlu Dipertahankan

KUALA LUMPUR, 20 Jun – UMNO tidak dapat menerima logik di sebalik ‘permainan’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) dalam kes Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca kerana tuntutan ke atasnya dibuat sejak zaman beliau menjadi perdana menteri keempat lagi, kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.

Ujarnya, UMNO menyambut baik kenyataan Dr Mahathir mengenai perlunya Malaysia meneruskan penguasaan di pulau-pulau Laut China Selatan yang mencerminkan betapa kerajaan memandang berat isu kedaulatan negara serta haknya ke atas Pulau Layang-Layang yang dikuasai dan dibangunkannya.

“Bagaimanapun, UMNO merasakan sesuatu yang pelik apabila beliau menggugurkan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh milik Johor yang jaraknya cuma 12.8 batu nautika dari sempadan Malaysia. Pulau Batu Puteh adalah sebahagian daripada kawasan perairan dan kedaulatan negara semenjak Empayar Johor kurun ke-16 lagi.

“Nampaknya Kerajaan PH lebih mementingkan Kepulauan Spratly yang jaraknya 1,688 kilometer itu sebagai satu-satunya hak yang perlu dipertahankan. Dari segi logik, Pulau Batu Puteh juga mesti dituntut dengan segala dokumen yang ada dan diserahkan semula ke Mahkamah Antarabangsa di The Hague,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soalnya, mengapa rakyat Malaysia, terutama penyokong PH hanya berdiam diri apabila tuntutan ke atas Batu Puteh digugurkan?

“Kenapa Kabinet PH membisu dengan hal ini? Adakah mereka takut menentang Dr Mahathir yang mengamalkan politic ‘corporate and legalistic entity’ ini?

“Dalam ertikata lain, mereka semuanya akur dengan segala keputusan perdana menteri, seolah-olah beliaulah yang membuat segala keputusan secara berseorangan dan tidak boleh disanggah oleh orang lain.”

Tegasnya, UMNO berharap isu Pulau Batu Puteh akan kembali ke meja rundingan PM dan MB Johor.

“Tidak ada gunanya bercakap mengenai maruah dan kedaulatan negara jika kita mudah tunduk kepada kepentingan politik peribadi.

“Amat menyedihkan kerana era dan cara ‘authoritarian’ beliau dipraktikkan semula di zaman siber ini, seperti arahannya kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk memberi tumpuan kepada ‘mengorek’ kepincangan kerajaan terdahulu saja serta sanggup batal apa saja projek yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu atas dasar balas dendam.

“Jika amalan ‘vengeance’ yang digunapakai oleh PH, rakyat akan berdepan dengan dasar pentadbiran yang bersifat caca marba sedangkan sepatutnya apa juga dasar luar negara Malaysia, ia haruslah bersifat sama dan saling menjaga kedaulatan wilayah, walaupun kerajaannya bertukar.”

Dalam masa yang sama, katanya, Hasrat Menteri Besar Johor, Osman Sapian untuk menemui Dr Mahathir dan merundingkan semula isu Pulau Batu Puteh dan HSR dengan republik itu, amat disokong.

“Adakah isu pengguguran Batu Puteh itu menjadi antara persetujuan di dalam rundingan Dr Mahathir dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, bulan lalu sebagai ‘syarat’ untuk membatalkan projek keretapi laju tinggi (HSR).

“Jika benar, ternyatalah kerajaan sanggup menggadai maruah dan kedaulatan negara bagi memelihara kepentingannya dengan negara jiran. Ini sama sekali tidak dapat diterima, lebih-lebih lagi oleh rakyat negeri Johor,” bidasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.