Letak Kepentingan Islam Di Depan Dan Bukannya Kepentingan Kumpulan Atau Peribadi – JATI

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Presiden Pertubuhan JATI, Dr Mohd Fauzi Shaffie yakin UMNO telah memainkan peranan yang besar dan penting dalam meletakkan Islam pada tempatnya dalam Perlembagaan Persekutuan serta dalam pelaksanaan Islam sepanjang memerintah negara sejak 1957.

Justeru kata beliau dalam pemilihan UMNO pada kali ini, para perwakilan di mesyuarat agung UMNO bahagian-bahagian diharap akan memberi keutamaan kepada kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.

“Para perwakilan UMNO ke mesyuarat agung bahagian perlu sedar bahawa kerajaan yang ada pada hari ini tidak, atau belum membuat pengakuan untuk menjaga kepentingan Islam sebagaimana telah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, malah beberapa kenyataan berbaur kebencian kepada institusi-institusi Islam pernah dibuat oleh ramai mereka yang menganggotai kerajaan pada hari ini.

“Maka para perwakilan wajib sedar bahawa harapan umat Islam terbeban pada UMNO untuk membela kepentingan Islam. JATI mengikut rapat perkembangan proses pemilihan kepemimpinan UMNO atas sebab ianya adalah parti yang mempunyai pengaruh yang besar dalam pemerintahan negara, sejak 1946 hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi UMNO yang masih belum kebah demam kekalahan teruk pada PRU-14 kini terpaksa menghadapi proses pemilihan kepemimpinan seluruh peringkat parti dan kemuncaknya ialah pemilihan pucuk pimpinan pada mesyuarat agung serentak bahagian-bahagiannya pada 30 Jun nanti.

“Maka, JATI membuat seruan kepada para perwakilan ini supaya membuat pilihan dengan meletakkan kepentingan Islam di hadapan, dan bukan hanya kemahuan peribadi atau kumpulan.

“JATI yakin, keputusan-keputusan yang mengutamakan Islam dan umat Islam akan mendapat barakah dan rahmat daripada Allah swt,” ujarnya.-MediaUMNO