Persidangan UMNO 2018 Amat Bemakna Buat Ahli Parti

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh berkata persidangan UMNO kali ini di bahagian Kulai lebih bermakna dan begitu penting kepada semua ahli UMNO di akar umbi dan akan terus menjadi ingatan yang amat bermakna.

Ini kerana katanya persidangan serta pemilihan yang diadakan pada tahun ini berlangsung dalam suasana parti menjadi pembangkang bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat pusat yang tentunya melahirkan suasana yang cukup berbeza.

“Setelah bertahun tahun sebagai parti pemerintah… kali ini kita bersidang dalam keadaan UMNO menjadi pembangkang di peringkat negeri dan pusat. Pastinya persidangan kali ini akan jadi persidangan cawangan yang paling di ingati dalam sejarah hidup kita bersama parti UMNO.

“Inilah peluang kita untuk  menjadi sebahagian dari sejarah  untuk menyelamatkan kelangsungan perjuangan parti UMNO. Mungkin pada ketika ini ada yang memikirkan untuk meninggalkan parti.  Mungkin ada yang sudah tidak yakin dengan masa depan UMNO.

“Bukan mudah untuk mengajak orang untuk terus bersama UMNO ketika parti dalam keadaan sukar.  Namun…bagi yang masih setia dan bersemangat untuk melihat UMNO bangkit kembali, ini adalah peluang terbaik untuk kita bersama-sama  menjadi sebagai sebahagian daripada sejarah untuk proses pemulihan dan kebangkitan semula parti UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya lagi yang juga mantan Exco Pemuda UMNO dengan kejayaan parti untuk bangkit kembali mudah-mudahan para pejuang akan terus dikenang oleh generasi seterusnya.

“Mudah-mudahan  bila kita sudah tiada di muka bumi ini kelak…kita diingati oleh anak cucu sebagai sebahagian pendokong parti yang jujur dan ikhlas, tidak lah esok kemudian hari anak cucu kita mengenang kita sebagai pengkhianat.

“Masa telah tiba untuk ahli parti  membuat pilihan agar UMNO dapat dipulihkan dan diberi  semangat baru untuk mengiringi perjuangan baru  yang begitu sukar di masa-masa mendatang,“ katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.