Kerajaan PH Digesa Segera Selesaikan Isu Harga Minyak Sawit

PEKAN, 18 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan untuk membantah tindakan Kesatuan Eropah (EU) meningkatkan sekatan terhadap impot minyak sawit dari Malaysia serta menyarankan agar kerajaan segera  berunding dengan EU serta-merta kerana mereka merupakan destinasi minyak sawit terbesar untuk negara.

Menurut Najib, kerajaan baharu  tidak boleh lagi membisu  dengan keputusan EU Jumaat lalu untuk mengurangkan dan menghentikan impot minyak kelapa sawit demi menamatkan penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar pengangkutan pada 2030.

“Kerajaan baharu patut mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah harga dan permintaan minyak sawit dengan serta-merta. Ini memandangkan telah wujudnya keresahan di kalangan peneroka Felda dan pekebun kecil terhadap harga minyak kelapa sawit dan juga penyusutan permintaan dari luar negara kepada komoditi tersebut.

“Selain daripada peningkatan sekatan EU terhadap import minyak sawit dari Malaysia, ramai juga mula resah apabila China juga yang sebelum ini menjadi pengimpot kedua terbesar minyak sawit Malaysia, berkemungkinan akan mengurangkan pembelian minyak kelapa sawit ekoran perkembangan selepas Pilihanraya Umum ke-14.

“Ketika kerajaan BN memerintah, akibat hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan China, negara tersebut telah menjadi pengimpot kedua terbesar minyak sawit negara di mana sebelumnya China hanya menjadi negara ke empat pengimpot minyak sawit daripada Malaysia,” ujarnya melalui entri terbaru di laman facebook rasmi beliau.

Selain itu menurut Najib, penyusutan harga minyak sawit mentah selama sembilan hari berturut-turt yang kini hanya berjumla RM2,300 setiap tan disebabkan tindakan kerajaan mengenaikan cukai ekspot sebanyak 5 peratus juga adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Hari Khamis lalu, harga minyak sawit mentah menyusut bagi hari ke-9 berturut-turut di mana harga kini adalah RM2,300 setiap tan. Turut dilaporkan, eksport minyak kelapa sawit kita bagi 10 hari pertama bulan Jun jatuh sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

“Salah satu faktor kepada kejatuhan ini adalah ekoran tindakan kerajaan mengenakan cukai 5 peratus terhadap eksport minyak kelapa sawit dan penganalisa pasaran berkata ia adalah faktor utama penyusutan permintaan dan penurunan harga. Cukai eksport ini diteruskan pada 5 peratus pada bulan Julai dan seterusnya,” jelasnya.

Ujarnya, kerajaan BN sebelum ini telah menggantung cukai berkenaan bagi empat bulan pertama tahun ini dalam memastikan pendapatan pekebun kecil tidak terjejas dan pasaran minyak kelapa sawit Malaysia terus berdaya saing dan kompetitif di pasaran antarabangsa.

“Justeru, bagi pihak pekebun kecil di Pekan dan kesemua peneroka di Malaysia, saya menggesa Kerajaan Pakatan untuk menggantung cukai eksport ini sehingga penghujung tahun ini atau sekurang-kurangnya menangguhkan cukai tersebut sehingga harga dan permintaan pasaran kembali pulih.

“Dalam semangat Hari Raya ini, usahlah kita menjadikan isu ini sebagai polemik politik kerana industri minyak kelapa sawit merupakan punca pendapatan utama bagi  beratus ribu pekebun kecil serta peneroka bergantung di negara ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.